[VIDEO] Ops Campur: KPDN rampas 300 kampit beras
PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) merampas 300 kampit beras daripada 213 premis pembungkus dan pengilang yang diperiksa dalam Ops Campur.
Ketua Pengarah Penguatkuasa KPDN, Datuk Azman Adam berkata, pemeriksaan yang dijalankan pada Selasa itu telah membawa kepada 48 kertas siasatan dibuka membabitkan 48 premis diperiksa.
"Nilai rampasan adalah RM15,321.40 dan kesemua beras rampasan dihantar ke Pusat Penyelidikan Bioteknologi dan Nanoteknologi, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) Jabatan Kimia untuk dianalisis," katanya.

Beliau berkata demikian menerusi sidang akhbar di sini pada Selasa.
Menurutnya, sekurang-kurangnya 2,000 premis pembungkus dan pengilang akan diperiksa bagi membantu Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dalam agenda menambah baik industri padi dan beras negara.
"Pada masa sama, kami ingin memastikan pengguna yang makan beras setiap hari mendapat bekalan daripada gred yang sepatutnya mereka bayar.
"Jadi beras yang dibeli pengguna itulah sepatutnya beras yang dibayar harganya," ujar beliau.
Jelasnya, selain beras campur, KPDN juga akan memeriksa kandungan peratusan beras hancur dalam setiap kampit.
"Kita akan melihat sama ada peratusan beras hancur yang diisytiharkan kerana ia turut mempengaruhi harga," kata Azman.
Februari lalu, MARDI mendedahkan sekitar 40 hingga 50 peratus beras import daripada 5,000 sampel yang dianalisis disahkan bercampur dengan beras putih tempatan (BPT).

Sampel beras yang diuji menggunakan teknologi pengcapjarian asid deoksiribonukleik (DNA) beras itu diperoleh daripada KPDN dan Pejabat Kawal Selia Padi dan Beras yang diambil daripada pengilang pada tahun 2023 serta 2024.
Pendedahan berkenaan mendorong pelbagai pihak menggesa tindakan tegas diambil terhadap pengilang yang menipu pengguna menjual beras import namun mengandungi kualiti beras campuran BPT.
Dalam pada itu, Azman menegaskan komitmen daripada pihak industri padi dan beras dalam operasi berkenaan.
"Saya ingin memohon semua pihak terutama yang terbabit dalam industri padi dan beras ini supaya memberi kerjasama kepada KPDN untuk kami melaksanakan operasi ini.
"Kami tidak akan bertolak ansur terhadap mana-mana pihak yang cuba menggagalkan operasi ini," katanya.
Tambah beliau, penguatkuasaan Ops Campur itu merangkumi perundangan di bawah Akta Perihal Dagangan 2011 (AKta 730) dan tindakan undang-undang akan diambil ke atas mana-mana pihak yang didapati membuat perihal dagangan palsu.
"Bagi individu, mereka boleh disabitkan denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali dan bagi kesalahan kedua atau berikutnya, denda tidak melebihi RM250,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.
"Bagi syarikat pula, denda tidak melebihi RM250,000 dan bagi kesalahan kedua atau berikutnya, denda tidak melebihi RM500,000," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

