[VIDEO] 'Saya sudah ampunkan dia, halalkan susu' - Ibu remaja ke-3 maut dirempuh Honda Jazz
SEREMBAN - "Saya dah cakap dengan dia, saya tak mahu seksa dia lagi dan dah halalkan susu dan ampunkan dosa dia".
Demikian kata Nurha’afza Salwa Hazizan, 41, ibu kepada Aisar Azim Abdullah, 17, yang merupakan mangsa ketiga yang maut dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Jalan Persiaran Senawang 1 di sini, Khamis lalu.
Menurutnya, dia reda dengan pemergian Allahyarham dan telah pun bersedia sebaik dimaklumkan doktor yang keadaan anaknya kritikal.
"Saya dapat kekuatan sebabnya malam tadi doktor dah beritahu denyutan jantung dia dah turun sampai 38.
"Saya dan anak-anak datang ke hospital untuk bacakan surah Yasin. Apa yang jadi, saya reda," katanya ditemui pemberita selepas pengebumian jenazah Allahyarham di Tanah Perkuburan Islam Maqbarah Salimah Taman Zaitun Indah di sini pada Selasa.

Ujarnya, arwah yang merupakan anak ketiga dari 10 beradik disifatkan seorang anak pendiam, namun rapat dengan adik-adiknya.
Tambahnya, kali terakhir dia berjumpa dengan Allahyarham pada malam Rabu ketika Allahyarham pulang ke rumah selepas berjumpa dengan rakan-rakannya.
"Dengan dia susah (jumpa), sebab saya kerja pagi dan balik malam. Dia hanya telefon saya saja kalau nak apa-apa dan banyak dengan adik-adik.
"Bila Allahyarham disahkan meninggal, saya tengok mukanya tenang saja dan bersih saja walaupun ada calar, macam dia tengah tidur," katanya.
Dalam pada itu katanya, keluarga tidak menolak untuk mengambil tindakan undang-undang kepada pemandu Honda Jazz yang menyebabkan kemalangan tersebut.
"Setakat ini kita memang akan ambil tindakan. Sekarang anak saya dah meninggal dan kawan dia pun dah meninggal dua orang, kita akan lawan sehabis mungkin.
"Kita memang dah ada peguam yang hubungi nak tawarkan khidmat guaman," katanya.
Sementara itu, abang Allahyarham, Mohammad Aiman Abdullah, 20, tidak menyangka keengganan Allahyarham untuk membeli baju raya merupakan petanda dia akan pergi selama-lamanya.
Katanya, Allahyarham membeli alasan yang dia hanya mahu tidur saja di rumah.
"Dia cakap alang tak mahu raya sebabnya nak duduk rumah saja tidur sedangkan selama ini dialah yang paling teruja berkenaan beli baju raya sedondon," katanya.
Sementara itu, jenazah Allahyarham selamat dikebumikan jam 12.40 tengah malam selepas disahkan meninggal dunia ketika sedang dirawat di Hospital Tuanku Jaafar jam 7.23 malam.
Dia merupakan mangsa ketiga dalam kemalangan membabitkan rempuhan sebuah Honda Jazz terbabit yang maut.
Dua rakannya yang naik motosikal Modenas Kriss iaitu berusia 15 dan 16 tahun telah disahkan meninggal dunia di lokasi pada hari kejadian.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohamad Hatta Che Din sebelum ini dilaporkan berkata, Honda Jazz berkenaan dipandu seorang lelaki berusia 18 tahun yang tidak mempunyai lesen memandu.
Katanya, kenderaan itu dikatakan gagal berhenti di lampu isyarat merah sebelum dipercayai merempuh dua motosikal yang turut menyebabkan seorang penunggang dan seorang pembonceng parah.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

