Dua remaja maut: Kakak pemandu kereta tampil mohon maaf

SEREMBAN - Kakak kepada pemandu kereta Honda Jazz yang terlibat kemalangan maut membabitkan dua remaja di Senawang Khamis lalu, tampil memohon maaf kepada keluarga mangsa dan rakyat Malaysia atas kenyataan yang dibuat berhubung insiden berkenaan.
Menerusi satu hantaran di media sosial, wanita dikenali sebagai Nur Athirah Najwa itu dalam keadaan menangis mengakui kesilapannya dalam mengeluarkan komen yang menimbulkan kemarahan orang ramai.
"Assalamualaikum, saya Nur Athirah Najwa kakak kepada pelaku yang terlibat dalam kemalangan di Senawang, saya ingin memohon maaf kepada pihak keluarga mangsa dan semua rakyat Malaysia atas posting dan komen yang keterlaluan sehingga membuat semua marah.
"Saya sedar dan saya telah up posting tersebut dalam keadaan emosi. Saya betul-betul minta maaf dan menyesal," katanya.
Sebelum ini media melaporkan, dua remaja maut dirempuh sebuah kereta yang gagal berhenti di persimpangan lampu isyarat merah di Jalan Persiaran Senawang 1.
Kejadian sekitar jam 8. 30 malam itu membabitkan tiga kenderaan iaitu kereta Honda Jazz serta dua motosikal jenis Modenas Kriss dan Honda Vario.
Siasatan awal mendapati, kemalangan berlaku apabila kereta yang dipandu remaja lelaki berusia 18 tahun bersama seorang penumpang 17 tahun sedang bergerak dari arah Senawang menuju ke Paroi.
Kenderaan itu gagal berhenti di persimpangan lampu isyarat merah lalu merempuh dua motosikal yang datang dari arah sebelah kiri.
Kemalangan terbabit menyebabkan penunggang dan pembonceng motosikal jenis Modenas Kriss masing-masing berumur 15 dan 16 tahun mengalami parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

