Dua remaja maut dilanggar: Pemilik rakaman 'dashcam' belum tampil

Rakaman dashcam (atas) papar kereta Honda Jazz dipercayai dipandu laju ketika lampu isyarat sudah berkelip kuning mahu bertukar merah. Keadaan motosikal (bawah) dinaiki mangsa yang dilanggar kereta Honda Jazz. Gambar kecil: Mohamad Hatta Che Din
Rakaman dashcam (atas) papar kereta Honda Jazz dipercayai dipandu laju ketika lampu isyarat sudah berkelip kuning mahu bertukar merah. Keadaan motosikal (bawah) dinaiki mangsa yang dilanggar kereta Honda Jazz. Gambar kecil: Mohamad Hatta Che Din
A
A
A

SEREMBAN - Pemilik video kamera papan pemuka (dashcam) berkaitan kemalangan maut dua remaja di Jalan Persiaran Senawang 1 di sini Khamis lalu masih belum tampil bagi membantu siasatan.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohamad Hatta Che Din berkata, kerjasama mereka amat penting bagi memudahkan proses siasatan dilakukan.

"Sebab itu pentingnya kerjasama pemilik dashcam yang berkongsi video kejadian itu di media sosial tampil untuk bantu proses siasatan.

"Setakat ini hanya dua saksi telah tampil memberi keterangan iaitu ibu pemandu Honda Jazz dan seorang saksi awam," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Sebelum ini media melaporkan, dua remaja maut dirempuh sebuah kereta yang gagal berhenti di persimpangan lampu isyarat merah di Jalan Persiaran Senawang 1.

Kejadian sekitar jam 8. 30 malam itu membabitkan tiga kenderaan iaitu kereta Honda Jazz serta dua motosikal jenis Modenas Kriss dan Honda Vario.

Siasatan awal mendapati, kemalangan berlaku apabila kereta yang dipandu remaja lelaki berusia 18 tahun bersama seorang penumpang 17 tahun sedang bergerak dari arah Senawang menuju ke Paroi.

Kenderaan itu gagal berhenti di persimpangan lampu isyarat merah lalu merempuh dua motosikal yang datang dari arah sebelah kiri.

Kemalangan terbabit menyebabkan penunggang dan pembonceng motosikal Modenas Kriss masing-masing berumur 15 dan 16 tahun meninggal dunia di lokasi kejadian.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!