'Tidak jatuh miskin orang yang bersedekah'

SHAH ALAM - Umat Islam di Malaysia dan seluruh dunia yang memberi sedekah kepada pihak lain terutama ketika diri sendiri berada dalam kesusahan tidak akan menyebabkan mereka jatuh miskin.
Menurut Setiausaha Agung Persatuan Senior Kewangan Islam, Dr Razli Ramli, ini kerana ALLAH SWT telah memberi jaminan bahawa orang yang bersedekah dan berinfak untuk kebaikan tidak akan jatuh miskin, malah bakal menerima pahala berlipat kali ganda.
“Ini selari dengan firman ALLAH SWT dalam al-Quran yang bermaksud: Bandingan (derma) orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan ALLAH SWT, ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai, tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji.
“Dan (ingatlah), ALLAH akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya, dan ALLAH Maha Luas (rahmat) kurnia-Nya, lagi meliputi ilmu pengetahuan-Nya. (Ayat 261 surah al-Baqarah)
“Begitu juga hadis Rasullulah SAW yang bermaksud: Sedekah itu tidak akan mengurangi harta. Tidak ada orang yang memberi maaf kepada orang lain melainkan ALLAH akan menambah kemuliaannya, dan tidak ada orang yang merendahkan diri kerana ALLAH melainkan ALLAH akan mengangkat darjatnya. (Riwayat Muslim no 4689),” katanya.
Tambah Razli, ada segelintir umat Islam takut bersedekah terutama pada saat mereka ditimpa kesusahan kerana melihat infak terbabit daripada aspek duniawi semata-mata, bukannya akhirat dan hikmah di sebaliknya.
“Kita tidak hanya melihat sedekah atau infak dari sudut duniawi sahaja. Kita mesti percaya bahawa infak adalah satu pelaburan baik di dunia dan akhirat,” jelasnya.
Dalam keadaan ekonomi yang semakin mencabar, Razli menyarankan umat Islam untuk lebih berfikiran positif dan mengambil peluang untuk berinfak walaupun dengan jumlah yang kecil.
“Bulan Ramadan adalah masa yang paling baik untuk berinfak. Sebagai contoh, kalau kita dapat sedekah atau wakafkan RM1 pun ALLAH SWT akan memberi ganjaran yang besar terutama di bulan Ramadan ini jika pemberian berkenaan adalah niat hati yang ikhlas.
“Umat Islam mesti ingat bahawa ALLAH SWT bukan melihat sedekah berkenaan dari segi jumlah semata-mata, malah lebih penting ialah niat dan keikhlasan kita dalam memberi,” tambahnya lagi.
Oleh itu, Razli menyarankan umat Islam di seluruh dunia dan Malaysia menginfakkan atau mendermakan atau bersedekah sekurang-kurang RM1 sebulan secara konsisten sama ada kepada orang fakir, miskin, orang tua, tabung kebajikan atau masjid.
Beliau mencadangkan agar umat Islam terutama mereka yang bergaji tetap dapat mengaturkan potongan gaji secara automatik setiap bulan untuk tujuan infak dan sedekah agar mereka tidak terlepas daripada melakukan kebaikan dan kebajikan.
Sebagai kesimpulan Razli menegaskan umat Islam agar tidak berputus asa dalam memberi sedekah, walaupun dengan jumlah kecil dan berterusan seperti air mengalir.
“Lebih baik kita menderma dalam jumlah kecil tetapi secara berterusan, daripada jumlah besar tetapi tidak kekal lama.
“Perkara paling penting sekarang adalah kita kena tingkatkan kesedaran dan ilmu dalam kalangan masyarakat Islam di Malaysia mengenai kepentingan sedekah dan amalan berinfak walaupun dalam jumlah yang kecil,” ujarnya.
Program World #QuranHour yang memasuki sedekad penganjuran tahun ini akan diadakan di Masjid Sultan Haji Ahmad Shah, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Gombak pada 25 Mac dengan surah al-Saff menjadi surah pilihan bagi program berkenaan.
Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF), Marhaini Yusoff memaklumkan, surah al-Saff dipilih kerana ia mengandungi seruan supaya umat Islam bersatu dan mencontohi semangat Hawariyyun iaitu para pembantu agama ALLAH SWT dalam menyebarkan nilai al-Quran ke seluruh dunia.
Jelasnya, program kali ini mengangkat tema #SavingTheUmmah dan pihaknya amat mengharapkan komitmen berterusan media tempatan untuk terus berkongsi sinergi menguar-uarkan kempen World #QuranHour agar gelombang baca, faham serta amal al-Quran berkembang kepada lebih banyak negara.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
