Elak muat turun APK tidak sah, pengguna berisiko hilang wang

Pengguna telefon pintar dinasihatkan tidak memuat turun aplikasi mencurigakan di media sosial susulan peningkatan kes penipuan siber. - Gambar hiasan (Gambar kecil: Choong Fook)
Pengguna telefon pintar dinasihatkan tidak memuat turun aplikasi mencurigakan di media sosial susulan peningkatan kes penipuan siber. - Gambar hiasan (Gambar kecil: Choong Fook)
A
A
A

SHAH ALAM - Pengguna telefon pintar dinasihatkan supaya tidak memuat turun aplikasi mencurigakan di media sosial susulan peningkatan kes penipuan siber melibatkan fail Kit Pakej Android (APK) dan laman web palsu.

Pakar keselamatan siber, Fong Choong Fook berkata, fail berkenaan yang datang daripada sumber tidak diketahui membuka ruang kepada penggodam mengakses data peribadi pengguna termasuk maklumat akaun bank tanpa disedari.

Menurut beliau, pihak tidak bertanggungjawab juga boleh mengaktifkan mikrofon dan kamera tanpa pengetahuan pemilik peranti.

“APK tidak sah bukan sahaja boleh memanipulasi khidmat pesanan ringkas (SMS) dan senarai kenalan daripada jauh tetapi turut mampu mencuri maklumat perbankan pengguna.

“Jadi tidak hairanlah jika hari ini dilaporkan ramai yang terlibat dengan jenayah siber dan kehilangan berpuluh ribu ringgit duit di dalam bank meskipun tidak memberikan maklumat kata laluan sekali guna (OTP) kepada sesiapa,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Pada Jumaat lalu, seorang pembangun perisian negara mendedahkan tentang aplikasi APK yang dimuat turun daripada sumber tidak rasmi membolehkan penggodam mengakses akaun bank pengguna tanpa memerlukan OTP.

Dalam satu hantaran di Facebook, dia menjelaskan aplikasi berkenaan berupaya mengakses SMS sekali gus membolehkan mereka membaca dan memadamnya tanpa disedari pengguna.

Tambah Choong Fook, bukan hanya pengguna Android malah sistem iOS juga tidak terkecuali berdepan risiko sama.

“Teknik penipuan siber yang semakin canggih membolehkan penggodam mengambil alih peranti iOS dengan meminta pengguna memasang security profile bagi memberikan kawalan penuh ke atas peranti mereka.

Artikel Berkaitan:

“Penggodam juga boleh menampilkan laman web palsu bagi memperdayakan pengguna untuk memasukkan maklumat peribadi seperti kata laluan atau butiran perbankan,” jelasnya.

Justeru, beliau menasihatkan agar pengguna untuk lebih berwaspada dan tidak mudah terpedaya dengan aplikasi di media sosial yang mencurigakan.

Ini kerana katanya, kesedaran pengguna adalah kunci utama memastikan keselamatan data sentiasa terjamin.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!