200 jemaah umrah terkandas mohon percepat kes di mahkamah

SHAH ALAM - Lebih 200 jemaah yang terkandas dan gagal diterbangkan ke Tanah Suci, Makkah oleh syarikat pengendali umrah kontroversi memohon Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk mempercepatkan perbicaraan kes di mahkamah.
Penasihat undang-undang, Ena Awil yang mewakili mangsa berkata, proses mempercepatkan kes di mahkamah amat penting bagi memberikan keadilan kepada jemaah terkandas.
“Hari ini jam 10 pagi kami berhimpun di hadapan bangunan AGC bukan kerana mahu mencari kesalahan pendakwaan, tetapi untuk serahan memorandum bagi membolehkan kes tuduh di mahkamah dipercepatkan.
“Alhamdulillah walaupun hadir tanpa membuat temu janji, kedatangan kami tetap disambut baik oleh wakil AGC.
“Jadi, kami begitu berharap agar pihak pendakwaan dapat menerima memorandum yang diserahkan untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan, pemulangan semula wang, pelaksanaan tindakan tegas terhadap pemilik syarikat dan penambahbaikan sistem skor bagi memantau operasi agensi pelancongan antara syor yang dikemukakan wakil jemaah terkandas.
Ena memaklumkan, pihaknya meminta Kementerian Pelancongan, Seni dan Kebudayaan (MOTAC) dan budi bicara agensi terlibat untuk berbuat demikian dengan kadar segera bagi menyelesaikan kemelut yang melanda jemaah.
Menurut pengarah Mind Pro Management itu, ia kerana permasalahan yang berlaku bukan sahaja melibatkan jemaah dari Malaysia, tetapi juga rakyat Brunei dan Singapura.
Terdahulu, MOTAC menggantung lesen syarikat pengendali umrah tersebut kerana didapati melakukan pelanggaran terhadap Akta Industri Pelancongan 1992 (Akta 482).
Kata MOTAC, dalam tempoh penggantungan lesen, syarikat tidak boleh membuat sebarang urus niaga baharu termasuk pengiklanan jualan pakej dan memulangkan semula bayaran serta apa-apa dokumen milik jemaah umrah yang memilih untuk membatalkan tempahan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

