Saran senaraikan kekangan utama

Banyak perkara perlu diperhalusi sebelum RUU Pendanaan Politik dapat digubal sebelum PRU16. (Gambar kecil: Muhamad Hisham) - Gambar hiasan
Banyak perkara perlu diperhalusi sebelum RUU Pendanaan Politik dapat digubal sebelum PRU16. (Gambar kecil: Muhamad Hisham) - Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan disaran supaya menyenaraikan kekangan utama yang dihadapi dan perkara perlu diperhalusi bagi memastikan Rang Undang-Undang (RUU) Pendanaan Politik dapat digubal segera.

Pakar Perlembagaan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Datuk Profesor Madya Dr Wan Ahmad Fauzi Wan Husain berkata, beliau percaya kajian dan langkah proaktif itu dapat memastikan RUU tersebut digubal dalam tempoh baki penggal sidang Parlimen.

“Pada pandangan saya, apa yang disifatkan sebagai halangan utama akan dapat diatasi jika ia disenaraikan terlebih dahulu, kemudian dijadikan penyataan masalah untuk mencari penyelesaian secara berobjektif.

“Saya tidak nampak sebab kenapa RUU tersebut tidak boleh diusulkan ke Parlimen dalam tempoh satu tahun ini, sedangkan kita mempunyai seramai 222 ahli Parlimen untuk meneliti lagi RUU berkenaan,” katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said membayangkan bahawa sukar untuk memastikan RUU Pendanaan Politik dapat digubal sebelum Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

Menurut Azalina, banyak perkara perlu diperhalusi termasuk mendapatkan pandangan pelbagai pihak berkepentingan.

Mengulas lanjut, Wan Ahmad Fauzi berkata, kerajaan boleh meneruskan libat urus dengan pelbagai pihak yang dikenal pasti perlu ditanya pandangannya berhubung isu tersebut.

Ini kerana, katanya, mungkin pihak terbabit sudah ada jawapan atau contoh penyelesaiannya sebelum ini.

“Kaji semua perundangan yang telah digubal di negara yang mengamalkan sistem pilihan raya seperti Malaysia atau selainnya dengan mengambil aspek yang boleh menjawab persoalan kajian.

“Kerajaan juga perlu menetapkan beberapa objektif yang jelas untuk apa RUU Pendanaan Politik ini digubal,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, untuk berlaku adil dengan kenyataan Azalina, kerajaan perlu menjelaskan setiap gerak kerja yang sudah dilakukan selepas cadangan penggubalan RUU berkenaan dipersetujui kerajaan baru-baru ini.

Ditanya mengenai kata sepakat yang dicapai agar pembiayaan atau pengaruh asing tidak boleh dibenarkan dalam RUU berkenaan, Wan Ahmad Fauzi juga bersetuju dengan pendirian tersebut.

“Unsur pembiayaan asing amat tidak wajar kerana kita sudah banyak kedengaran buruknya amalan proksi di mana-mana, bukan sahaja dalam bidang politik. Orang yang ditaja lebih cenderung akan bertuankan penaja,” katanya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Peguam Muslim Malaysia (PPMM), Muhamad Hisham Marzuki berpendapat, kekangan utama dalam menggubal RUU berkenaan adalah ketiadaan keinginan yang jitu daripada pihak penggubal atau badan eksekutif.

“Perkara ini perlu diberikan keutamaan dalam menjamin suasana politik dan pembentukan kerajaan yang harmoni pada masa akan datang selepas keputusan PRU16.

“Ini juga dapat memastikan kestabilan negara dapat dicapai dan diutamakan,” tegas beliau.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!