Setiausaha agung semua parti politik dipanggil bincang cadangan RUU Pendanaan Politik

SHAH ALAM - Kerajaan akan mengadakan mesyuarat bersama setiausaha agung semua parti politik dalam masa terdekat bagi mendapatkan pandangan mengenai cadangan penggubalan Rang Undang-Undang (RUU) Pendanaan Politik.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, mesyuarat yang akan dipengerusikannya itu dibuat bagi mendapatkan pandangan dan pendirian parti berhubung cadangan penggubalan akta berkenaan serta membincangkan pelbagai isu berbangkit.
Menurutnya, penggubalan RUU itu dilihat dapat mengurangkan risiko rasuah dan penyalahgunaan kuasa melibatkan ahli politik di Malaysia dan seterusnya memberikan imej yang positif kepada kerajaan dan negara.
"Sehingga Februari 2025, sebanyak lapan sesi libat urus telah diadakan, termasuk lima sesi bersama wakil parti politik dan agensi Kerajaan serta tiga mesyuarat dengan Jawatankuasa Pilihan Khas (JKPK) Hak Asasi, Pilihan Raya dan Reformasi Institusi. Pada 10 Februari 2025, JKPK telah mengemukakan maklum balas mengenai penambahbaikan skop dasar RUU Pendanaan Politik.
"Pada 12 Februari 2025, saya telah mempengerusikan mesyuarat bersama pelbagai agensi berkaitan termasuk Jabatan Peguam Negara untuk membincangkan hala tuju dan kebolehlaksanaan RUU Pendanaan Politik.
"Namun, terdapat beberapa perkara dasar yang belum mencapai persetujuan sebulat suara, seperti keperluan pendanaan awam kepada parti politik, had sumbangan dan entiti yang akan mengawal selia dana politik," katanya menerusi jawapan bertulis yang disiarkan di laman web Parlimen.
Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan Datuk Seri Jalaluddin Alias (BN-Jelebu) sama ada terdapat usaha atau gerak kerja yang dilakukan bagi membawa RUU Pendanaan Politik bagi dibentangkan sebelum Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) ini.
Mengulas lanjut, Azalina berkata, buat masa ini tiada undang-undang atau peraturan yang mengawal selia sumbangan politik di Malaysia, sebaliknya peruntukan sedia ada hanya berkaitan Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 [Akta 5] di bawah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk memantau perbelanjaan calon pilihan raya, bukannya perbelanjaan parti.
Beliau menambah, kerajaan juga akan mendengar dan mendapatkan pandangan daripada parti-parti politik kerajaan dan pembangkang melalui pihak universiti sebagai pihak neutral, bagi memastikan keputusan yang diambil adalah inklusif dan melibatkan pelbagai perspektif.
"Ini termasuk Kajian Kesemua Parti Politik dan Pandangan pihak berkepentingan, termasuk orang awam. Pendekatan ini penting untuk memastikan dasar-dasar yang dilaksanakan benar-benar mencerminkan kehendak dan keperluan rakyat," katanya.
Ujarnya, melalui pendekatan ini, Kerajaan Madani dapat memastikan bahawa setiap langkah yang diambil adalah berdasarkan data yang sahih dan telus, sekali gus memberi manfaat kepada seluruh masyarakat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

