Percepat bentang RUU pendanaan politik - Akmal Saleh

KUALA LUMPUR – Kerajaan digesa untuk segera membentangkan rang undang-undang pendanaan politik bagi memastikan ketelusan dalam sumbangan kewangan kepada parti politik.
Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Akmal Saleh berkata, tindakan menangkap dan mendakwa individu yang menerima dana sahaja tidak mencukupi, sebaliknya mereka yang memberi sumbangan juga perlu diheret ke muka pengadilan.
“Baru mereka rasa takut. Sebab itu, akta pendanaan politik perlu dilaksanakan agar kita boleh tahu siapa yang menerima dan siapa yang menyumbang,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Justeru, Pemuda UMNO Malaysia mendesak kerajaan agar mempercepatkan pembentangan rang undang-undang berkenaan supaya ia dapat dilaksanakan segera.
“Jika tidak, sampai bila-bila rakyat akan terus dipermainkan oleh golongan ini,” tegasnya.
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada Isnin mengesahkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kini dianggap suspek dalam kes rasuah dan pengubahan wang haram disiasat agensi itu dan bukan lagi sebagai saksi.
Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Azam Baki berkata, ia susulan penemuan wang tunai kira-kira RM170 juta dalam sebuah 'safehouse' hasil serbuan dilakukan pihaknya.
Difahamkan Ismail akan direkod keterangan kali kedua berhubung kes rasuah dan pengubahan wang haram pada Rabu ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

