RUU Pendanaan Politik perlu digubal tempoh mandat Kerajaan Madani

Muhammad Faisal Abdul Aziz
Muhammad Faisal Abdul Aziz
A
A
A

SHAH ALAM - Rang Undang-Undang (RUU) Pendanaan Politik perlu segera digubal dalam tempoh mandat pentadbiran Kerajaan Madani ketika ini bagi mengawal selia perjalanan kewangan parti politik meliputi sumber dana dan kaedah perbelanjaan.

Pengerusi Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih), Muhammad Faisal Abdul Aziz berkata, Kerajaan Perpaduan harus menutup kelompongan undang-undang sedia ada sebelum mandat tersebut berakhir.

Katanya, inisiatif terbabit juga dapat memastikan tatacara kewangan parti politik berlaku dengan telus dan penuh integriti.

“Isu skandal rasuah melibatkan pemimpin politik ini bukan perkara baharu, ia berlarutan sekian lama malah telah dibuktikan bersalah dalam kes SRC International melibatkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Maka Kerajaan Madani harus ambil inisiatif untuk mengusahakan agar RUU Pendanaan Politik digubal di Parlimen dan menjadi undang-undang untuk mengawal selia perjalanan kewangan parti politik,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Katanya, tindakan menangkap dan mendakwa individu yang menerima dana sahaja tidak mencukupi, sebaliknya mereka yang memberi sumbangan juga perlu diheret ke muka pengadilan.

Muhammad Faisal menegaskan, jika tiada langkah segera dilakukan untuk penggubalan RUU terbabit rakyat dibimbangi hilang kepercayaan kepada institusi dan parti politik kerana tuduhan melibatkan skandal rasuah yang dilihat berlaku berterusan dan berleluasa.

“Kita tidak mahu lagi melihat insiden seperti ini berulang yang membawa kepada ranapnya kepercayaan rakyat kepada pemimpin politik dan institusi penguatkuasaan negara.

“Bersih yakin sekiranya kerajaan berjaya menggubal akta pendanaan politik ini, ia memberi kesan yang positif kepada landskap politik negara,” ujarnya

Artikel Berkaitan:

Muhammad Faisal menambah, langkah tersebut akan membantu parti politik untuk mendapatkan dana bagi menanggung kos operasi pejabat dan sebagainya sekali gus menjawab persoalan asas mengenai keperluan parti politik mendapatkan dana.

Menurut beliau, ia juga dapat meningkatkan keyakinan rakyat terhadap institusi politik kerana keyakinan berkenaan penting untuk memastikan rakyat terus terlibat dalam proses demokrasi negara seperti mengundi dalam pilihan raya umum.

“Ini turut akan menaikkan ranking Indeks Persepsi Rasuah (CPI) negara menuju ke tangga ke-25 seperti yang disasarkan kerajaan Malaysia,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!