Pencen penakat sumbangan terakhir arwah Norshamira - Suami

KUANTAN - Suami kepada peniaga makanan yang ditemui mati dibunuh di tepi Sungai Kuantan berhampiran Jambatan Tanjung Lumpur di sini terharu kerana tidak menyangka arwah isterinya ada meninggalkan rezeki untuk keluarga.
Mohammad Afiq Akhmal Nudin, 32, berkata, arwah isterinya, Norshamira Zainal, 38, banyak membantu keluarga, termasuk kewangan.
"Sekarang dia sudah tiada, memang terasa kehilangannya tapi saya bersyukur, rupa-rupanya ada sedikit rezeki yang dia tinggalkan untuk kami sekeluarga.
"Saya benar-benar tidak mengetahui isteri pernah mencarum di bawah PERKESO dan tidak tahu bahawa pencen penakat boleh diberikan kepada waris sekiranya pencarum meninggal dunia," katanya.

Mohammad Afiq Akhmal ditemui semasa kunjungan Exco Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Negeri, Sim Chon Siang dan Pengarah PERKESO Pahang, Hisham Abdul Rahman sempena Program Ziarah Prihatin dan penyerahan faedah PERKESO itu di rumah keluarganya di Taman PSJ di sini pada Khamis.
Menurutnya, pencen penakat RM1,085 untuk dia dan anak sekurang-kurangnya dapat digunakan untuk meneruskan kehidupan.
"Pencen penakat ini bukan sekadar bantuan kewangan tetapi juga satu bukti bahawa arwah masih meninggalkan jasa untuk keluarga walaupun sudah tiada," katanya.
Pekerja di sebuah syarikat kenderaan di Indera Mahkota itu berkata, pemergian isterinya dalam peristiwa tragis itu satu kehilangan besar buat dia dan keluarga terutama anak lelakinya, Ayden Mikhael, 5.
Menurutnya, kehilangan isteri bukan sahaja memberi kesan emosi tetapi juga dari segi kehidupan seharian, terutama dalam hal kewangan dan penjagaan anak mereka yang masih kecil.
Berkongsi kisah Ramadan tanpa isterinya, Muhammad Afiq Akhmal mengakui suasana tahun ini berbeza namun dia tetap meneruskan ibadah itu seperti biasa.
“Saya kini tinggal bersama keluarga. Kalau tinggal sendirian, mungkin lebih terasa kehilangannya.
"Sebelum ini, arwah yang selalu memasak untuk berbuka. Lepas berbuka, dia akan keluar berniaga kini semua itu tinggal kenangan," katanya.
Menurutnya, anak mereka juga semakin memahami keadaan tetapi tetap menunjukkan sedikit perubahan tingkah laku, mungkin kerana terlalu rindu pada ibunya.
“Anak selalu sebut nama arwah, perangainya agak lain daripada sebelum ini. Dia memang manja dengan ibunya, jadi bila arwah tiada, dia rasa kehilangan.
“Arwah semasa hidupnya banyak membantu keluarga. Bila dia sudah tiada, masih ada jasa yang dia tinggalkan untuk kami,” katanya.
Sementara itu, Hisham berkata, kes Norshamira dalam perhatian Skuad Prihatin PERKESO pada hari pertama selepas menerima khabar duka menimpa mangsa itu.
Menurutnya, PERKESO telah melakukan pencarian kerana dimaklumkan mangsa menjalankan perniagaan dalam talian namun hasil semakan mendapati tiada pendaftaran dan caruman dibuat di bawah skim pekerjaan sendiri atas namanya.
"Tetapi bila kita semak di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4) didapati arwah pernah bekerja dan ada caruman jadi layak menerima perlindungan PERKESO ini.
"Hari ini kita datang dan serahkan bayaran faedah iaitu Faedah Pengurusan Mayat RM3,000 dan pencen penakat arwah kepada waris," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

