Suspek kes bunuh Norshamira sudah ditahan

KUANTAN - Polis berjaya menahan seorang lelaki dipercayai suspek kes bunuh peniaga makanan, Norshamira Zainal, 37 yang mayatnya ditemui di tepi Sungai Kuantan, berhampiran Jambatan Tanjung Lumpur di sini Khamis lalu.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, suspek berusia 53 tahun itu ditahan jam 5.30 pagi di sebuah rumah, kawasan perumahan Wakaf Tembesu, Gong Badak, Kuala Terengganu pada Sabtu.
Menurutnya, tangkapan dilakukan sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kontinjen Pahang dan Terengganu.

"Susulan penahanan suspek, polis menemui dan merampas sebentuk cincin, wang tunai, pakaian dan dokumen untuk membantu siasatan.
"Permohonan reman ke atas suspek akan dibuat di Mahkamah Majistret Kuantan hari ini (Sabtu)," katanya.
Wan Mohd Zahari berkata, dengan tertangkapnya lelaki itu, pihak polis telah berjaya menyelesaikan kes bunuh melibatkan seorang peniaga wanita yang ditemui mati di tepi Sungai Kuantan berhampiran Jambatan Tanjung Lumpur, Khamis lalu.
"Pihak polis mengucapkan terima kasih kepada orang ramai yang membantu menyalurkan maklumat bagi membantu siasatan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!