'Seronok dapat pilih baju raya sendiri' - Luah anak yatim Covid-19

Junaidah bersama empat anaknya yang menerima bantuan daripada YKM untuk membeli pakaian sempena Hari Raya.
Junaidah bersama empat anaknya yang menerima bantuan daripada YKM untuk membeli pakaian sempena Hari Raya.
A
A
A

KUANTAN – Empat beradik di Felda Chini teruja apabila diberi peluang memilih sendiri kelengkapan Aidilfitri menerusi program membeli-belah Hari Raya Aidilfitri anjuran Yayasan Keluarga Malaysia (YKM) di sebuah pusat beli-belah di sini pada Sabtu.

Nur Fahihaemani Abd Hadi, 11, anak keempat daripada lima beradik berkata, ini kali pertama mereka dapat membeli pakaian dan kasut raya sendiri.

“Seronok sangat... saya beli dua pasang baju raya, kasut, beg dan rasa tidak sabar hendak sambut raya.

"Terima kasih kepada YKM kerana beri baju raya dan peluang berjumpa Tuanku,” katanya ketika ditemui pada Sabtu.

Program itu turut meraikan Nur Fahihaemani, salah seorang daripada 57 anak yatim Covid-19 di Pahang sebagai sebahagian daripada inisiatif bantuan yang memberi manfaat kepada kira-kira 1,000 anak yatim di seluruh negara.

Kesemua penerima turut disantuni Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada program tersebut.

Keberangkatan Al-Sultan Abdullah bersama Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah dan anakanda baginda menyemarakkan kegembiraan anak-anak YKM yang hadir dari seluruh negeri Pahang.

Ismail Sabri (dua dari kiri) mengiringi Al-Sultan Abdullah (tengah) bertemu dengan penerima yang memilih pakaian untuk hari raya.
Ismail Sabri (dua dari kiri) mengiringi Al-Sultan Abdullah (tengah) bertemu dengan penerima yang memilih pakaian untuk hari raya.

Artikel Berkaitan:

Turut bersama ialah Bekas Perdana Menteri merangkap Pengerusi YKM, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob serta Ketua Pegawai Eksekutif YKM, Mohd Hafizuddin Mohd Ariff.

Ibu kepada Nur Fahihaemani, Junaidah Omar, 49, berkata, peluang itu sedikit sebanyak meringankan beban persiapan Aidilfitri kerana biasanya mereka hanya membeli pakaian mengikut kemampuan keluarga.

“Selalunya kami beli yang perlu sahaja, tetapi dengan bantuan begini mereka dapat memilih sendiri.

"Jadi, saya lega kerana tidak perlu lagi memikirkan soal baju raya anak-anak kerana ia sudah selesai,” jelasnya yang kehilangan suami akibat Covid-19 empat tahun lalu.

Seorang lagi penerima cilik, Sarah Aisyah Saiful Nizam, 9, dari Felda Jengka 15, mengakui gembira menerima bantuan daripada YKM.

“Saya dapat pilih baju warna biru tua, mainan dan beg baharu... itu sahajalah, tetapi ibu beli banyak baju.

"Semua ini membuatkan saya rasa sangat bahagia,” katanya sambil tersenyum lebar.

Menurut Syafiie Shahbudin, 43, sumbangan tahun ini amat bermakna buat tiga orang anaknya yang berusia antara lapan hingga 15 tahun.

Katanya, sejak kehilangan isteri akibat pandemik Covid-19 pada September 2021, dia yang hanya bekerja kampung terpaksa menggalas tanggungjawab besar menyara keluarga sendirian.

"Syukur alhamdulillah, bantuan ini sedikit sebanyak membantu meringankan beban. Biasanya saya perlu membelanjakan sekitar RM1,000 untuk persiapan tiga anak.

"Sekarang, semuanya terasa lebih lega kerana urusan baju dan beg sekolah selesai sekali gus dengan bantuan YKM yang menyumbang RM300 bagi setiap anak," katanya yang memilih tema warna teal blue atas permintaan anak-anaknya.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata negeri Pahang menjadi tumpuan YKM untuk program membeli-belah baju raya buat 57 anak yatim Covid-19 sempena Hari Raya Aidilfitri.

Menurutnya, setiap anak menerima RM300 bagi membeli pakaian pilihan mereka dan bantuan bukan sekadar musim perayaan.

Kesemua 57 penerima bergambar bersama Al-Sultan Abdullah dan Ismail Sabri selepas program membeli belah Hari Raya Aidilfitri.
Kesemua 57 penerima bergambar bersama Al-Sultan Abdullah dan Ismail Sabri selepas program membeli belah Hari Raya Aidilfitri.

“Kita ada lebih kurang 1,000 orang yang kita panggil anak yatim Covid-19 kerana ibu bapa mereka meninggal dunia akibat Covid-19,” jelasnya.

“Setiap bulan kita memasukkan wang antara RM200 hingga RM250 mengikut umur mereka. Kita bantu mereka bukan setakat itu, tetapi pada hari-hari istimewa seperti hari buka sekolah pun kita bantu,” ujarnya lagi.

Ismail turut memaklumkan program tahun ini lebih istimewa apabila anak-anak berpeluang bertemu Sultan Pahang dan memilih baju raya sebelum majlis berbuka puasa bersama baginda.

Beliau menambah selain bantuan pakaian, YKM juga menekankan aspek pendidikan.

“Tahun ini kita berikan tuisyen percuma secara dalam talian, kem motivasi dan sesi menjawab soalan peperiksaan. Pendidikan sahaja yang mampu mengubah nasib mereka,” katanya.

Ringkasan AI

  • Empat beradik di Felda Chini teruja dapat memilih kelengkapan Aidilfitri menerusi program anjuran Yayasan Keluarga Malaysia
  • Ini merupakan kali pertama mereka membeli pakaian dan kasut raya sendiri
  • Program tersebut meraikan salah seorang daripada 57 anak yatim COVID-19 di Pahang
  • Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah turut serta dalam program itu
  • Peluang itu meringankan beban persiapan Aidilfitri bagi keluarga yang kehilangan ahli keluarga akibat Covid-19

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!