[VIDEO] PRK DUN Ayer Kuning ditetapkan pada 26 April

A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) N48 Ayer Kuning pada 26 April depan.

Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun berkata, tarikh penamaan calon dan pengundian awal pula masing-masing ditetapkan pada 12 dan 22 April depan.

"Sehubungan itu, urusan permohonan bagi semua kategori undi pos luar dan dalam negara akan dibuka mulai hari ini (7 Mac).

"Tarikh tutup permohonan adalah 9 April bagi ahli/Pegawai SPR, anggota polis, tentera dan petugas media; warganegara di luar negara (20 Mac) dan agensi kerajaan lain (20 Mac)," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas SPR di Putrajaya, pada Jumaat.

Menurutnya, permohonan undi pos boleh dibuat secara atas talian di portal SPR www.spr.gov.my.

Ujarnya, SPR juga melantik seorang Pegawai Pengurus Pilihan Raya dan tiga Penolong Pegawai Pengurus Pilihan Raya bagi menjalankan urusan PRK DUN Ayer Kuning.

Ramlan (tengah) pada sidang media di sini, pada Jumaat.
Ramlan (tengah) pada sidang media di sini, pada Jumaat.

Ramlan berkata, tempoh berkempen ditetapkan selama 14 hari bermula dari tarikh pengisytiharan calon yang bertanding hingga jam 11.59 malam 25 April depan.

Beliau berkata, Daftar Pemilih Pilihan Raya (DPPR) yang akan digunakan untuk PRK DUN Ayer Kuning adalah daftar pemilih tambahan terkini sehingga bulan Januari yang dikemaskini sehingga 22 Februari 2025 yang mengandungi 31,897 orang.

Artikel Berkaitan:

"DPPR berkenaan mengandungi seramai 31,897 pemilih terdiri daripada 31,315 pengundi biasa dan 582 anggota polis, Pasukan Gerakan Am (PGA) serta pasangan masing-masing.

"Pelaksanaan PRK DUN Ayer Kuning memerlukan peruntukan sebanyak RM2.5 juta," katanya.

Berikutan itu, SPR akan melantik 601 petugas bagi mengendalikan proses PRK ini manakala 19 pusat pengundian biasa mengandungi 63 tempat mengundi/saluran dan dua pusat mengundi awal yang mengandungi tiga saluran akan digunakan.

"Bagi tujuan memantau aktiviti kempen pilihan raya, SPR akan menubuhkan satu Pasukan Penguat Kuasa Kempen Pilihan Raya yang dianggotai wakil daripada polis dan pihak berkuasa tempatan (PBT) serta wakil calon bertanding," katanya.

Ujar beliau, SPR turut menawarkan kepada mana-mana agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) atau badan yang berminat untuk menjadi pemerhati pilihan raya.

PRK DUN Ayer Kuning diadakan berikutan kematian penyandang kerusi berkenaan Allahyarham Ishsam Shahrudddin, 59, yang juga Ketua UMNO Bahagian Tapah, susulan serangan jantung ketika menyertai kejohanan bola sepak di Pulau Pinang.

Pada PRU15, Ishsam mewakili Barisan Nasional (BN) menang dengan 2,213 majoriti undi iaitu dengan 9,088 bilangan undi dalam pertembungan lima penjuru, mendahului calon PH (6,875), PN (6,812), Parti Pejuang Tanahair (105) dan Parti Sosialis Malaysia (586).

Kerusi DUN Ayer Kuning menjadi kubu kuat BN sejak lapan penggal lalu.

Bekas wakil rakyatnya, Datuk Azman Mahalan, memenangi kerusi berkenaan selama empat penggal berturut-turut sejak 1986 hingga 2004.

Penguasaan BN di kerusi itu diteruskan pula dari 2004 sehingga 2022 oleh Datuk Samsudin Abu Hassan.

Berdasarkan Daftar Pemilih SPR pada 2022, DUN Ayer Kuning memiliki seramai 31,940 pengundi dengan Melayu (55.64 peratus), Cina (21.99 peratus), India (14.30 peratus) dan Lain-lain (8.07 peratus).

Daripada jumlah keseluruhan pengundi berdaftar itu, seramai 15,020 daripadanya berusia antara 18 hingga 39 tahun.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!