Kerajaan Perpaduan sudah matang, yakin kerjasama baik hadapi PRK Ayer Kuning

TAPAH - Parti Kompenan dalam Kerajaan Perpaduan sudah cukup matang untuk bekerjasama memastikan kemenangan calon Barisan Nasional (BN) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning.
Timbalan Presiden MCA, Datuk Dr Mah Hang Soon berkata, perkara itu telah diterjemahkan dalam siri Pilihan Raya Kecil (PRK) sebelum ini yang menyaksikan Pakatan Harapan (PH) turun padang membantu kempen BN.
"Kita tahu apa yang patut kita laksanakan sebab bukan kali pertama kita berdepan dengan keadaan sebegini. Kita telah bekerjasama dalam beberapa PRK sebelum ini," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada MCA akan turun berkempen bersama DAP dalam PRK DUN Ayer Kuning.
Berdasarkan rekod, pengundi Cina merupakan kelompok kedua terbesar yang mengundi di DUN Ayer Kuning selepas Melayu.
"Saya tak boleh ramalkan (kerjasama dengan DAP), apa-apa pun saya rasa kita ini cukup matang," kata Hang Soon.
Beliau berkata, tumpuan MCA kini adalah untuk mengekalkan kemenangan BN di kerusi DUN itu dengan majoriti lebih besar.
"Kita kena kerja keras untuk menunjukkan kekuatan BN dan kalau dapat sokongan parti komponen dalam PH, itu satu bonus," katanya.
Terdahulu, Hang Soon ditemui pemberita dalam Mesyuarat Jawatankuasa BN Tapah di Bangunan UMNO Tapah di sini pada Isnin yang turut dihadiri Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M Saravanan dan Pemangku Ketua UMNO Bahagian Tapah, Khairul Azmi Ghazali.
Kekosongan kerusi DUN Ayer Kuning (N48) berlaku susulan kematian penyandangnya, Ishsam Shahruddin, 59, selepas rebah ketika menyertai perlawanan bola sepak di Pulau Pinang pada 22 Februari lalu.
Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), Ishsam yang pertama kali bertanding sebagai calon UMNO memenangi kerusi tersebut dengan majoriti 2,213 undi, menewaskan empat calon lain dari Pakatan Harapan, PN, Parti Sosialis Malaysia (PSM) dan Gerakan Tanah Air (GTA).
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memaklumkan akan mengadakan mesyuarat khas bagi urusan PRK di DUN tersebut pada 7 Mac ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

