PRK Ayer Kuning: BN yakin sokongan pengundi muda

TAPAH - Barisan Nasional (BN) yakin sokongan pengundi muda akan berpihak kepada parti itu dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning.
Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M Saravanan berkata, keyakinan itu berdasarkan gerak kerja dilakukan BN Parlimen Tapah sebelum ini yang memfokuskan kebajikan dan sumbangan secara berterusan bermula di peringkat sekolah.
Menurut Saravanan, pihaknya hanya perlu memperkemaskan jentera pada pilihan raya itu memandangkan terdapat kira-kira 14,000 pengundi muda berdaftar di kawasan DUN tersebut.
"Nasib baik Pemuda BN Parlimen Tapah sentiasa mengadakan program-program untuk belia di sini.
"Ini satu-satunya Parlimen yang saya berani sebut, kita mula sumbangan kepada generasi muda daripada peringkat sekolah. Bila sampai sahaja Tingkatan Lima, dah ada sumbangan untuk mereka.
"Maka saya percaya, daripada 14,000 pengundi muda itu, sebahagian besar akan menyokong calon BN," katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Jawatankuasa BN Parlimen Tapah di Bangunan UMNO Tapah, di sini pada Isnin.
Hadir sama, Timbalan Presiden MCA, Datuk Dr Mah Hang Soon dan Pemangku Ketua UMNO Bahagian Tapah, Khairul Azmi Ghazali.
Saravanan yang juga Ahli Parlimen Tapah berkata, berdasarkan rekod empat pilihan raya lalu, BN diberi mandat yang memuaskan oleh pengundi-pengundi Melayu yang mewakili lebih 60 peratus pengundi DUN Ayer Kuning.
Katanya, kedudukan itu jelas membuktikan bahawa kawasan DUN tersebut merupakan kubu kuat BN.
"Kita dekati pengundi-pengundi Melayu bukan hanya musim pilihan raya, sebaliknya hubungan itu sudah akrab, maka saya yakin kita dapat mandat yang sewajarnya.
"Bagi saya pucuk pimpinan BN cukup berpengalaman dan lihat Tapah ini tak pernah banyak masalah sama ada UMNO ataupun parti komponen lain, kita tidak ada isu," ujarnya.
Kekosongan kerusi DUN Ayer Kuning (N48) berlaku susulan kematian penyandangnya, Ishsam Shahruddin, 59, selepas rebah ketika menyertai perlawanan bola sepak di Pulau Pinang pada 22 Februari lalu.
Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), Ishsam yang pertama kali bertanding sebagai calon UMNO memenangi kerusi tersebut dengan majoriti 2,213 undi, menewaskan empat calon lain daripada Pakatan Harapan (PH), Perikatan Nasional (PN), Parti Sosialis Malaysia (PSM) dan Gerakan Tanah Air (GTA).
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

