Doktor buat aksi tak senonoh direman sekali lagi

GEORGE TOWN - Seorang doktor yang baharu direman kerana berkelakuan tidak senonoh terhadap seorang pesakit di sebuah hospital baru-baru ini direman sekali lagi untuk membantu siasatan berhubung kes sama melibatkan seorang wanita lain di sebuah klinik di Pulau Tikus.
Timbalan Ketua Polis Daerah Timur Laut, Superintenden Lee Swee Sake berkata, penahanan penjawat awam itu dibuat selepas polis menerima laporan daripada seorang wanita tempatan, 30, pada jam 10.16 malam, Selasa lalu.
Swee Sake berkata, berdasarkan laporan wanita berkenaan, dia mendakwa suspek melakukan kelakuan tidak senonoh terhadapnya di sebuah klinik swasta.
"Suspek warga tempatan berusia 43 tahun ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut pada jam 9.15 malam Khamis.
"Dia ditahan reman selama empat hari bermula hari ini sehingga 10 Mac ini untuk siasatan lanjut," dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Swee Sake berkata, hasil siasatan awal mendapati kejadian berlaku pada jam 6.30 petang, 28 Jun tahun lalu ketika wanita berkenaan pergi ke klinik tersebut untuk mendapatkan laporan keputusan ujian darah.
"Wanita tersebut telah berjumpa dengan suspek yang bertugas sebagai doktor di dalam bilik rawatan lalu diperdaya oleh suspek untuk membuka baju dan berlari setempat atas tujuan rawatan lanjut," ujarnya.
Tambah beliau, suspek juga disyaki telah merakam gambar badan wanita berkenaan menggunakan telefon bimbit semasa pemeriksaan kesihatan.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955," katanya.
Difahamkan, suspek bekerja secara tetap sebagai doktor forensik di hospital kerajaan namun bekerja doktor sambilan di klinik berkenaan.
Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan seorang pegawai perubatan ditahan selepas didakwa berkelakuan tidak senonoh terhadap seorang pesakit wanita di sebuah hospital di sini pada jam 9.30 malam Rabu.
Menurut polis, suspek telah berkelakuan tidak senonoh di tempat kerja terhadap mangsa yang berusia 21 tahun.
Suspek telah direman empat hari bermula 27 Februari sehingga 2 Mac untuk siasatan lanjut.
Difahamkan, mangsa telah ke hospital untuk pemeriksaan jantung yang mana, pemeriksaan telah dijalankan oleh suspek.
Suspek dikatakan meminta mangsa menanggalkan pakaian dan mangsa hanya menuruti permintaan suspek kerana menyangka ia adalah prosedur operasi standard (SOP) dalam pemeriksaan.
Ketika pemeriksaan tersebut, hanya mangsa dan suspek berada di dalam bilik tanpa kehadiran jururawat wanita.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

