Berkelakuan tidak senonoh: Doktor dibebaskan dengan jaminan polis

GEORGE TOWN - Seorang pegawai perubatan sebuah hospital di sini yang ditahan bagi membantu siasatan kerana berkelakuan tidak senonoh di tempat kerjanya pada Rabu, dibebaskan dengan jaminan polis pada Ahad.
Timbalan Ketua Polis Daerah Timur Laut, Superintenden Lee Swee Sake berkata, jaminan itu diberikan selepas perintah reman terhadap doktor berusia 43 tahun berkenaan tamat pada Ahad.
"Polis ketika ini sedang melengkapkan kertas siasatan kes berkenaan di bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan-kesalahan Kecil 1955, sebelum diserahkan kepada Bukit Aman dan Pejabat Peguam Negara (AGC) untuk tindakan seterusnya," katanya ketika dihubungi Bernama pada Ahad.
Media sebelum ini melaporkan, pihak polis menahan pegawai perubatan itu di sebuah hospital di sini kira-kira jam 9.30 malam Rabu selepas menerima maklumat daripada pihak hospital berhubung kejadian berkenaan.
Lelaki itu kemudiannya direman selama empat hari bermula 27 Februari bagi membantu siasatan kes itu. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
