Pemilik kilang e-waste warga asing diburu - Saifuddin Nasution

KUALA LANGAT - Seorang lelaki warga asing merupakan pemilik kilang memproses sampah elektronik (e-waste) termasuk peluru dan kelongsong di Telok Panglima Garang, di sini diletakkan dalam senarai buruan.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, siasatan mendapati peluru itu dibawa masuk dari luar negara.

Katanya, semakan mendapati kilang e-waste berkenaan mempunyai dua penama iaitu seorang warga tempatan dan seorang warga asing.
"Warga tempatan ini telah ditahan, namun warga asing terbabit telah menghilangkan diri dan dia dalam senarai pencarian kita.
"Tanah (tempat pengoperasian kilang) ini diwarta sebagai zon industri, bila wujud kilang sebegini dan mereka proses bahan industri akan tidak menimbulkan sebarang syak sepintas lalu sebelum serbuan dilakukan pihak berkuasa," katanya kepada pemberita ketika meninjau kilang terbabit di sini pada Khamis.
Turut hadir Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan dan Timbalan Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, Datuk Mohamad Suzrin Mohamad Rodhi.

Tambah Saifuddin, perbezaan kilang ini dengan kilang e-waste lain ialah penemuan peluru hidup dan kelongsong.
Katanya, autoriti polis adalah tindakan mengikut Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 iaitu berkaitan penemuan peluru, manakala pihak Jabatan Alam Sekitar (JAS) membuka empat kertas pertuduhan.

"Pejabat daerah juga telah mengesahkan premis ini beroperasi hampir dua tahun," ujarnya.
Tegas beliau, pihak polis akan melihat semua ruang lingkup terutama sudut pandang keselamatan berikutan penemuan jumlah peluru yang banyak.
"Polis akan menilai semua sudut keselamatan. Ini (peluru) jumlah yang mengejutkan dan menggemparkan," katanya.
Pada 15 Februari lalu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan kerjasama Jabatan Alam Sekitar (JAS) menerusi Op Hazard di seluruh negara merampas pelbagai bahan e-waste dianggarkan bernilai RM2.86 bilion seberat 22.9 kilogram.
Bermula Jun tahun lalu, Sinar Harian menerusi laporan eksklusif melaporkan banyak premis e-waste di sekitar Lembah Klang dan beberapa negeri yang dipercayai beroperasi secara haram tanpa mendapat kelulusan JAS.
Ada di antaranya berselindung di sebalik operasi mengumpul besi lusuh, namun dalam masa sama mengaut keuntungan dengan mengekstrak, melerai dan melupus e-waste termasuk mempromosikannya di media sosial secara terbuka.
Susulan laporan itu, Ketua Pasukan Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (AMLA) Bukit Aman, Datuk Muhammed Hasbullah Ali dalam sidang akhbar memberitahu seorang individu bergelar Datuk antara 55 individu yang ditahan dengan tindakan sitaan bernilai RM43.19 juta hasil serbuan ke atas sindiket memproses e-waste haram pada 5 Ogos di Pahang, Selangor, Negeri Sembilan serta Johor.
Selain itu, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki juga menyifatkan sindiket memproses e-waste haram berisiko mengakibatkan kes jenayah, salah guna kuasa, rasuah serta kesihatan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
