Kilang e-waste haram kena serbu, sampah elektronik lebih RM43 juta dirampas

JOHOR BAHRU - Seorang lelaki tempatan dan 14 warga asing diberkas dalam serbuan di kilang memproses sampah elektronik (e-waste) disyaki secara haram di Kampung Baru Sengang, Kulai pada Selasa.
Ketua Polis Johor, Datuk M Kumar berkata, pihaknya melakukan menjalankan operasi itu bersama Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Johor dan Majlis Perbandaran Kulai (MPKu).
"Dalam serbuan ini, pasukan berjaya menangkap seorang lelaki warga tempatan, China, Myanmar, Bangladesh dan dua lelaki Indonesia serta seorang wanita Indonesia.
"Kesemua mereka berusia lingkungan 20 hingga 49 tahun atas pelbagai kesalahan.
"Rampasan barangan bernilai lebih RM43 juta turut dilakukan membabitkan 348 guni plate timah, 612 guni bateri automotif potong, 33 kotak dan pallet berisi bateri automotif, dua unit alat kawalan pencemaran habuk serta ketuhar pembakar.
"Turut dirampas sembilan guni sisa komponen elektronik, 13 tanki air bateri, 18 tan sisa buangan e-waste (RM810,000), 1290 tan bateri (RM6,450), 696 tan timah (RM23 juta), 13 ribu liter air bateri (RM13,000) dan peralatan proses e-waste bernilai RM1 juta," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Tambah beliau, kesemua barang rampasan diserahkan kepada JAS untuk siasatan lanjut dan akan dijalankan di bawah beberapa peruntukan kesalahan.
Ujarnya, kes disiasat di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1969/63 kerana berada dan masuk ke Malaysia tanpa pas, Seksyen 34B Akta Kualiti Alam Sekitar Sekeliling 1974; Seksyen 18(1) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974; Undang-undang Kecil Perlesenan Tred Perniagaan dan Perindustrian MPK 2019 iaitu Seksyen 3(1) serta Seksyen 49(2).
"Kilang memproses e-waste ini sudah beroperasi kira-kira tiga hingga empat bulan lalu bagaimanapun, status lesen masih dalam siasatan pihak berkuasa berkaitan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!