Polis siasat 47 kilang e-waste berkemungkinan ada kaitan antara satu sama lain

KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) melakukan siasatan terperinci ke atas 47 buah kilang sisa bahan buangan elektronik (e-waste) sekiranya mempunyai kaitan antara satu sama lain.
Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA), Datuk Seri Azmi Abu Kassim berkata, kesemua kilang tersebut diserbu semasa operasi besar-besaran di seluruh negara baru-baru ini.
Beliau berkata, pihaknya kini sedang memberi tumpuan kepada syarikat atau pengendali di sebalik kilang berkenaan.
"Kami sedang menyiasat kemungkinan syarikat yang mengendalikan kilang e-waste ini mempunyai kaitan antara satu sama lain.
"Berdasarkan penemuan kami setakat ini, pihak polis masih belum boleh membuat kesimpulan bahawa kilang-kilang ini bersindiket," katanya pada Khamis.

Kata beliau, kebanyakan kilang tersebut dibekalkan dengan sisa elektronik yang diseludup masuk melalui jalan laut.
Bagaimanapun menurutnya, pihak polis mendapati bahawa satu kilang yang diserbu di Sarawak didapati membeli sisa elektronik daripada pembekal tempatan.
"Pembekal akan mengumpul sisa elektronik daripada orang ramai di kawasan itu dan menjualnya kepada kilang pemprosesan haram itu," ujarnya.
Menurut beliau, kerjasama membabitkan pelbagai agensi penguatkuasaan adalah amat penting dalam memerangi kilang-kilang seumpama itu secara berkesan.
Tegasnya, PDRM dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) sentiasa bersedia untuk bekerjasama dengan agensi-agensi lain terutama dalam memastikan keselamatan negara sentiasa terjamin selamat.
"Kami memerlukan sokongan daripada agensi-agensi lain untuk memantau dan membendung penyeludupan sisa elektronik ke dalam negara," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
