Op Hazard: Keselamatan negara terkawal

KUALA LUMPUR - Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Polis Diraja Malaysia (PDRM) memberi jaminan tahap keselamatan negara khususnya di kawasan sempadan terkawal.
Pengarahnya, Datuk Seri Azmi Abu Kassim berkata, kawasan sempadan sentiasa diberi keutamaan dan kawalan ketat dengan inisiatif penguatkuasaan secara bersepadu berlandaskan undang-undang sedia ada.
Beliau berkata, pihaknya telah mengesan video berdurasi tiga minit 44 saat di aplikasi TikTok baru-baru ini dengan manipulasi fakta hingga menimbulkan kegusaran awam ekoran tindakan pihak berkuasa melaksanakan operasi terhadap fasiliti haram sisa elektronik dan elektrik (e-waste) di seluruh negara.
"Kandungan video tersebut bersifat provokasi tentang situasi tangkapan warga asing yang menggambarkan ancaman terhadap keselamatan negara terutama kawalan sempadan tidak terkawal.
"Masyarakat dinasihatkan agar berhati-hati ketika mencipta kandungan, mengeluarkan dan memuat naik sebarang kenyataan dan ulasan yang boleh mencetuskan kegusaran awam,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, tindakan tegas berlandaskan undang-undang akan diambil terhadap individu yang mengancam keharmonian, kesejahteraan dan mewujudkan rasa tidak selamat dalam kalangan masyarakat.
Semalam, Azmi berkata, siasatan kini menumpukan kepada syarikat yang mengendalikan operasi kilang berkenaan bagi kemungkinan 47 kilang e-waste yang beroperasi secara haram dan diserbu dalam operasi di seluruh negara baru-baru ini mempunyai kaitan antara satu sama lain.
Dalam Op Hazard pada 15 Februari lepas, Jabatan Alam Sekitar (JAS) memeriksa 47 kilang dan mendapati 30 premis beroperasi secara haram, tujuh premis barang lusuh, enam premis berlesen di bawah JAS, tiga premis berlesen di bawah pihak berkuasa tempatan dan satu gudang haram.
Azmi berkata pihaknya bersama JAS telah merampas RM2.68 bilion e-waste dengan berat 22.9 juta kilogram (kg) dan menahan 246 individu terdiri daripada warga tempatan dan warga asing merangkumi tujuh negara.
"Kesemua suspek telah ditahan dan disiasat atas pelbagai kesalahan di bawah Akta Senjata Api 1960, Akta Imigresen 1959/63 dan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (Pindaan 2024),” katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
