CAP setuju naikkan kadar caj parkir

Mohideen
Mohideen
A
A
A

GEORGE TOWN - Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) mengalu-alukan inisiatif Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) mengenakan kenaikan 50 peratus caj parkir kereta termasuk merancang mengenakan had masa parkir di jalan tertentu di negeri ini.

Presidennya, Mohideen Abdul Kader berkata, tindakan diambil merupakan langkah tepat menangani kesesakan lalu lintas yang semakin meningkat selain menggalakkan pengurusan tempat letak kereta lebih baik.

Menurutnya, CAP juga mengenal pasti beberapa parkir awam di mana tong besar, kerusi plastik, pasu bunga atau barangan lain diletakkan dan menghalang ruang tempat letak kereta.

"Selain itu, kenderaan yang menceroboh kawasan kaki lima dan perhentian bas memburukkan masalah kesesakan yang berleluasa di negeri ini hingga menyebabkan kesulitan.

"CAP menggesa MBPP mengambil langkah segera menambah baik dan meningkatkan perkhidmatan pengangkutan awam," katanya menerusi satu kenyataan di sini pada Khamis.

Mohideen berkata, peningkatan penggunaan kereta persendirian merupakan penyumbang utama kesesakan jalan raya dan tanpa sistem pengangkutan awam yang boleh diharap dan cekap, isu kesesakan lalu lintas akan berterusan.

"Kita perlu mengutamakan penambahbaikan dalam infrastruktur pengangkutan awam dan memastikan ia mudah, berpatutan dan bersambung dengan baik untuk menggalakkan peralihan daripada pergantungan kepada kereta persendirian.

"Ini bukan sahaja dapat mengurangkan kesesakan lalu lintas tetapi menyumbang kepada Pulau Pinang yang lebih bersih dan hijau," katanya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!