CAP gesa KKM uji minuman berkarbonat

GEORGE TOWN- Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) supaya segera menguji produk air berkarbonat yang dijual di Malaysia bagi memastikan ia bebas daripada pencemaran klorat.
Presidennya, Mohideen Abdul Kader berkata, selagi keputusan ujian belum diperoleh, penjualan produk berkenaan wajar ditangguhkan demi keselamatan pengguna.
Menurutnya, gesaan itu dibuat susulan penarikan balik minuman berkarbonat berkenaan di beberapa negara Eropah selepas pihak berkuasa di sana mendakwa mereka mendapati paras klorat yang tinggi dalam produk tersebut.
"Klorat merupakan produk sampingan pembersih klorin yang digunakan dalam rawatan air dan boleh menjejaskan kesihatan, terutama kepada bayi, kanak-kanak dan wanita hamil. Pendedahan kepada bahan ini dikaitkan dengan kekurangan iodin, disfungsi tiroid dan pengurangan jumlah sel darah merah.
“Jika di Eropah boleh mengambil tindakan segera, mengapa Malaysia masih berdiam diri? Keselamatan pengguna harus menjadi keutamaan," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Tambah beliau, minuman manis seperti air berkarbonat bukan sahaja berisiko tercemar malah menjadi penyumbang utama kepada krisis obesiti dan penyakit kronik di Malaysia.
"Menurut Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2023, sebanyak 54.4 peratus orang dewasa di Malaysia mengalami berat badan berlebihan atau obes, meningkat berbanding 44.5 peratus pada tahun 2011.
"Lebih membimbangkan, hampir 30 peratus kanak-kanak Malaysia berumur lima hingga 17 tahun mengalami masalah berat badan berlebihan atau obes," katanya.
Mohideen menambah, obesiti bukan sekadar isu penampilan malah ia meningkatkan risiko lebih 200 penyakit kronik termasuk kencing manis, penyakit jantung, gangguan muskuloskeletal dan kanser.
"Lebih parah, risiko diabetes jenis dua meningkat tujuh kali ganda dalam kalangan lelaki dan 12 kali ganda dalam kalangan wanita akibat obesiti.
"Sehubungan itu, kita menggesa KKM mengambil tindakan segera dengan menguji produk minuman berkarbonat di Malaysia bagi pencemaran klorat weeta menarik balik mana-mana produk yang didapati tercemar," katanya.
Beliau juga menasihatkan pengguna agar menghindari minuman manis kerana ia lebih banyak mudarat berbanding manfaat.
“Kesihatan rakyat lebih penting daripada kepentingan syarikat minuman gergasi.
"KKM perlu bertindak sebelum nasi menjadi bubur," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

