CAP gesa petani guna sungkup organik

GEORGE TOWN - Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa para petani supaya menggunakan sungkup sintetik berbanding sungkup plastik kerana ia akan menjejaskan alam sekitar.
Sungkup adalah lapisan bahan yang digunakan di permukaan kawasan tanah untuk memelihara kelembapan, meningkatkan kesuburan dan tanah yang sihat serta mengurangkan pertumbuhan rumput.
Presidennya, Mohideen Abdul Kader berkata, sungkup plastik akan melepaskan mikroplastik ke dalam tanah, merosakkan mikroorganisma tanah serta mengurangkan produktiviti.
Menurutnya, sungkup plastik adalah salah satu sumber utama pencemaran mikroplastik dalam ekosistem pertanian dan menyebabkan kesan buruk terhadap alam sekitar serta menimbulkan risiko kesihatan.
"Tumpuan Bulan Sifar Sisa Antarabangsa (IZWM) tahun ini adalah kepada pengurusan sisa organik yang inovatif untuk mengurangkan kehilangan dan pembaziran makanan, sisa serta pelepasan metana.
"Secara tradisional sungkupan dilakukan menggunakan daun kering, pokok-pokok yang dipangkas dan pokok renek, jerami padi, potongan rumput kering, ranting, kulit kayu dan bahan organik lain.

"Bagaimanapun sejak pengenalan sungkup plastik pada tahun 1950an, ia telah menjadi komponen dalam pertanian moden selain mendedahkan kita kepada risiko kesihatan dan alam sekitar yang besar," katanya dalam satu sidang akhbar di Pejabat CAP di sini pada Khamis.
Tambah beliau, jenis sungkup sintetik yang paling biasa digunakan adalah plastik hitam pertanian dan plastik 'supershine'.
"Kebanyakan sungkup sintetik ini mengandungi polietilena ketumpatan rendah iaitu resin sintetik yang menimbulkan kebimbangan alam sekitar yang serius.
"Polietilena mengambil masa ratusan tahun untuk terurai, bergantung pada faktor persekitaran seperti kelembapan, haba, cahaya dan aktiviti mikrob.
"Semasa penguraian, ia melepaskan mikroplastik yang mengganggu aktiviti enzimatik dan mikrob tanah. Akibatnya, sungkup plastik akan memberi kesan negatif terhadap pertumbuhan dan produktiviti tanaman," jelasnya lagi.
Selain itu katanya, ia juga membawa kesan kepada kesihatan kerana polietilena mengandungi ftalat, bahan kimia yang mengganggu endokrin yang membahayakan sistem reproduktif, neurologi dan perkembangan manusia.
"Oleh itu, CAP menggesa petani untuk beralih kepada sungkup organik. Sungkup organik diperbuat daripada bahan-bahan yang terdapat dalam alam semula jadi dan biasanya diuraikan kepada sebatian yang lebih mudah oleh mikroorganisma tanah.
"Sungkupan organik menawarkan beberapa manfaat alam sekitar dan kesihatan. Ia menambah baik struktur tanah, meningkatkan pengekalan kelembapan, mengurangkan hakisan serta menyediakan nutrien penting semasa penguraian," tambahnya.

Mohideen berkata, dengan mengawal rumpai serta suhu tanah, sungkupan organik meningkatkan kesuburan dan produktiviti tanaman.
"Ia juga menyokong biodiversiti, menggalakkan ekosistem sihat bagi mikrob dan serangga yang bermanfaat.
"Dari sudut kesihatan, sungkupan organik menyumbang kepada pengeluaran makanan yang lebih selamat dengan mengelakkan bahan kimia berbahaya yang terdapat di dalam sungkup plastik.
"Sungkupan organik adalah bebas toksin, meningkatkan nilai pemakanan tanaman dan mengurangkan risiko pencemaran bahan kimia dalam rantaian makanan," katanya lagi.
Beliau menambah, pihaknya menggalakkan penggunaan beberapa jenis sungkupan seperti sungkupan hijau, menggunakan sungkupan organik dengan sumber yang dikumpulkan dari ladang atau kebun seperti daun, kulit kayu, serpihan kayu, jerami dan sekam.
"Tanaman pendamping yang sesuai akan berfungsi sebagai sungkup hidup dan menggunakan sayur-sayuran berdaun sebagai tanaman selingan juga boleh membantu petani mengawal rumpai.
"Penggunaan bahan sungkupan organik di dalam pasu akan memberi manfaat kepada pekebun bandar untuk mengekalkan kelembapan dan kesuburan tanah," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

