Sindiket judi dalam talian, berselindung di sebalik kafe

Kumar (tiga kiri) menunjukkan barang rampasan Op Dadu Khas.
Kumar (tiga kiri) menunjukkan barang rampasan Op Dadu Khas.
A
A
A

 

KUALA LUMPUR - Sindiket perjudian dalam talian kini dan perjudian nombor ekor tidak berlesen dikesan berselindung disebalik premis perniagaan antaranya kafe dan kedai runcit sebagai lokasi operasi bagi mengaburi pihak berkuasa.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk M Kumar berkata, taktik itu antara yang dikenal pasti menerusi Op Dadu Khas di seluruh negara pada 31 Oktober hingga 1 November.

"Sebanyak 201 premis diserbu, manakala 282 individu berusia antara 20 hingga 65 tahun ditahan.

"Mereka terdiri daripada 229 lelaki dan 53 wanita, termasuk 59 warga asing dari Indonesia, Myanmar, Nepal dan Bangladesh yang dipercayai bekerja dengan sindiket terbabit," katanya dalam sidang akhbar di Bukit Aman di sini pada Isnin.

Kumar berkata, polis turut merampas pelbagai peralatan dipercayai digunakan untuk kegiatan perjudian, antaranya tablet, telefon bimbit, pencetak mudah alih serta wang tunai berjumlah RM32,149.

"Kesemua individu yang ditahan mendapat perintah reman antara satu hingga empat hari bagi membantu siasatan serta mengenal pasti dalang yang mengendalikan kegiatan berkenaan.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 4A(a), Seksyen 4B(a) dan Seksyen 4C Akta Rumah Perjudian Terbuka 1953 serta Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63," katanya.

Beliau berkata, polis turut menjalankan siasatan mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLA) 2001.

Artikel Berkaitan:

"Siasatan awal mendapati beberapa sindiket perjudian dalam talian yang terlibat antaranya Winbox dan Alibaba dan pihaknya kini sedang giat mengesan ketua-ketua sindiket terbabit untuk tindakan susulan," katanya

Dalam pada itu beliau berkata 201 premis yang diserbu akan dicadangkan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk tindakan pemotongan bekalan elektrik mengikut peruntukan di bawah Akta Rumah Perjudian Terbuka.

"Kita turut bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bagi membanteras promosi perjudian dalam talian di media sosial.

"Hasil kerjasama itu, ratusan iklan perjudian dilaporkan telah diturunkan," katanya.

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!