CAP desak KKM haramkan vape, rokok elektronik

GEORGE TOWN - Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) sekali lagi mendesak kerajaan khususnya Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) supaya mengharamkan penggunaan vape dan rokok elektronik berikutan peningkatan ketara penggunaannya dalam kalangan pelajar sekolah.
Pegawai Pendidikan dan Aktivis Anti-Merokok CAP, NV Subbarow berkata, sekiranya tindakan drastik tidak diambil, negara bakal berdepan lebih banyak kes berkaitan rokok elektronik (EVALI).
Menurutnya, EVALI merupakan keadaan keradangan serius yang boleh merosakkan paru-paru akibat penyedutan zarah kecil cecair nikotin dan perisa menggunakan peranti elektronik.
"Pesakit boleh mengalami kesan kesihatan sehingga 90 hari selepas terdedah kepada vape.

"Kesan vape sudah bermula. Jika kita tidak bertindak sekarang, generasi muda akan terus terjerumus dalam tabiat yang boleh membawa maut,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Tambah beliau, berdasarkan data KKM, sejak 2019 sehingga 30 September 2024, sebanyak 41 kes EVALI direkodkan dengan kos rawatan setiap pesakit mencecah RM150,000.
"CAP turut melahirkan kebimbangan terhadap pendedahan Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh bahawa 20,000 murid sekolah dikesan menghisap vape sepanjang tahun lalu.
"Bagaimanapun, kami percaya jumlah sebenar adalah jauh lebih tinggi kerana kami sendiri pernah menerima pengakuan daripada murid sekolah yang menghadiri ceramah anjuran CAP.
“Dalam program kami, murid-murid sendiri mengakui mereka menghisap vape. Malah, ada yang mendapatkan bekalan daripada bapa atau abang mereka di rumah,” katanya.
Jelasnya lagi, keadaan itu berlaku kerana penggunaan vape kini semakin menjadi satu perkara normal dalam kebanyakan keluarga di Malaysia.
"Menurut CAP, salah satu faktor utama peningkatan penggunaan vape dalam kalangan pelajar ialah pembungkusan berwarna-warni dan pelbagai perisa menarik, termasuk buah-buahan.
“Lima tahun lalu, kedai vape tidak banyak. Tetapi sekarang, di mana-mana pun ada kedai menjual peralatan vape dan perisa nikotin,” katanya.
Sebelum ini, Kementerian Pendidikan mendedahkan peningkatan dalam trend penggunaan rokok elektronik atau vape membabitkan murid sekolah dengan 20,000 golongan itu terjebak kegiatan terbabit tahun lalu.
Angka itu diperoleh berdasarkan statistik yang direkodkan dalam Sistem Sahsiah Diri Murid (SSDM).
Berdasarkan data itu, Kementerian mendapati trend penggunaan rokok elektronik atau vape dalam kalangan murid sekolah di bawah KPM menunjukkan peningkatan.
Sehubungan itu, Subbarow mencadangkan beberapa langkah drastik bagi membendung masalah ini termasuk menghentikan pengeluaran lesen baharu untuk kedai vape.
"Selain itu, tindakan lain yang boleh diambil adalah tidak memperbaharui lesen kedai vape sedia ada dan mengharamkan kedai vape berhampiran sekolah serta kawasan komuniti.
"Tindakan mengalihkan gerai tepi jalan yang menjual vape dan menguatkuasakan hukuman lebih tegas terhadap peruncit yang menjual vape kepada kanak-kanak atau murid sekolah juga boleh diambil," katanya.
Subbarow menambah, Kementerian Kesihatan mesti bertindak segera dengan mengharamkan vape bagi menyelamatkan nyawa generasi muda daripada wabak vape ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

