Rebut kawasan perniagaan punca sembilan individu merusuh

KUALA LUMPUR - Perselisihan faham berhubung perebutan kawasan perniagaan di kawasan berkenaan dipercayai menjadi punca kejadian merusuh yang melibatkan sekumpulan individu di hadapan sebuah kafe di Desa Tun Razak, Sungai Besi di sini pada Ahad.
Kejadian kira-kira jam 11 malam itu membawa kepada penahanan sembilan individu termasuk dua suspek utama yang dipercayai terlibat dalam kejadian berkenaan.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, kesemua suspek yang ditahan terdiri daripada lapan lelaki dan seorang wanita berusia antara 16 hingga 44 tahun.
Menurutnya, sepasukan anggota Unit Rondaan Bermotor (URB) Balai Polis Sungai Besi bersama Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras digerakkan ke lokasi sejurus menerima maklumat berhubung kejadian itu.
"Polis berjaya menahan sembilan suspek di sekitar lokasi kejadian bagi membantu siasatan.
"Semakan rekod mendapati sebahagian besar suspek mempunyai pelbagai rekod jenayah lampau membabitkan kes jenayah dan narkotik," katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Terdahulu, tular video di media sosial memaparkan beberapa individu didakwa merusuh dalam kejadian di Desa Tun Razak, Sungai Besi di sini.
Beliau berkata, polis turut merampas beberapa barangan yang disyaki digunakan ketika kejadian.
Katanya, kesemua suspek ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh dengan senjata.
"Orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat yang belum disahkan bagi mengelakkan gangguan terhadap proses siasatan.
"Sebarang maklumat berkaitan kejadian boleh disalurkan kepada Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999, IPD Cheras di talian 03-9205 0445 atau 03-9205 0465, atau mana-mana balai polis berhampiran," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

