Heret syarikat pengeluar makanan jijik ke mahkamah - CAP

GEORGE TOWN - Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) mencadangkan agar syarikat pengeluar makanan yang gagal mematuhi peraturan kebersihan ditetapkan diheret ke mahkamah untuk dikenakan tindakan lebih tegas.
Presidennya, Mohideen Abdul Kader berkata, tindakan juga bagi membolehkan nama syarikat dan produk keluaran syarikat berkenaan didedahkan kepada umum.
Menurutnya, tindakan mengenakan kompaun dan arahan tutup terhadap premis kotor yang telah berulang kali membuatkan kesalahan sama sudah tidak lagi relevan.
"Pihak berkuasa seperti jabatan kesihatan negeri dan pihak berkuasa tempatan sepatutnya bertindak tegas terhadap premis makanan yang sering melakukan kesalahan sama. Jangan lagi mengenakan kompaun kepada mereka sebaliknya terus heret ke mahkamah.
"Apabila dibawa ke mahkamah, nama syarikat dan produk yang dikeluarkan boleh didedahkan. Ini akan membolehkan pembeli tahu bahawa proses dan tempat pengeluaran produk berkenaan tidak bersih.
"Pengguna boleh memboikot produk tersebut kerana kebersihan dalam penyediaan makanan amat penting. Sekiranya pengeluar gagal mematuhi peraturan kebersihan, ia dibimbangi akan mengancam kesihatan pembeli," katanya ketika ditemui di Pejabat CAP di sini pada Khamis.
Difahamkan, pemilik premis boleh didakwa di mahkamah di bawah Seksyen 12 Akta Makanan 1983 sekiranya pegawai penyiasat membuka kertas siasatan dan seterusnya menyerahkannya kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk permohonan pendakwaan.
Beliau berkata demikian mengulas laporan media mengenai dua kilang pemprosesan kicap dan sos cili secara tradisional di Pulau Pinang yang diarah tutup serta-merta selama 14 hari berikutan penemuan najis tikus di sekitar premis.
Lebih mengejutkan, notis penutupan terbaru dikeluarkan Pejabat Kesihatan Daerah Timur Laut mengikut Seksyen 11, Akta Makanan 1983 kepada kedua-dua kilang kicap dan sos berusia lebih 120 tahun itu bukan kali pertama, sebaliknya premis itu pernah diberi arahan sama sebanyak tujuh kali dalam tempoh 10 tahun ini.
Pemeriksaan pertama dijalankan pasukan penguatkuasaan kesihatan terhadap kilang itu mendapati kacang soya yang diperap dalam bakul, diletakkan di atas lantai di hadapan tandas dan bilik air.
Selain keadaan lantainya yang berlumut dan menjijikkan, turut ditemukan ialah najis tikus dalam stor penyimpanan bahan mentah dan rak barangan, manakala di rak simpanan sos cili terdapat perangkap tikus serta persekitaran yang tidak memuaskan.
Mohideen pada masa sama berharap agar pihak berkuasa lebih kerap menjalankan pemeriksaan di semua premis pengeluar makanan terutamanya yang pernah dikenakan tindakan kerana tahap kebersihan yang tidak memuaskan.
"Pihak berkuasa perlu efisien, jangan hanya menjalankan tugas ketika menerima aduan atau pun sekali sekala sahaja membuat pemeriksaan.
"Sebolehnya, adakan sistem seperti (pemeriksaan) setiap tiga bulan sekali untuk memastikan mereka patuh kepada undang-undang kebersihan. Tindakan ini perlu dilakukan segera kerana ia melibatkan keselamatan pengguna," jelasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!