Tanam padi lima musim dua tahun, jamin bekalan beras - MADA

ALOR SETAR - Penanaman padi lima musim dalam tempoh dua tahun diyakini dapat meningkatkan pengeluaran padi negara seterusnya memastikan bekalan beras putih tempatan dalam pasaran.
Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), Datuk Dr Ismail Salleh berkata, inisiatif tersebut bukan sahaja menjamin sekuriti makanan dalam jangka panjang, malah menambah pendapatan pesawah.
Menurutnya, program tanaman padi lima musim itu dijangka memberi impak ekonomi besar dengan nilai pengeluaran mencecah RM156 juta bagi keluasan 30,000 hektar.
“Kerajaan dianggarkan menyalurkan subsidi sebanyak RM127.86 juta bagi memastikan kelancaran program ini, dengan pengeluaran bersih padi dijangka capai 0.120 metrik tan.
“Pengeluaran padi bersih sedia ada 853,360 metrik tan, dengan tambahan lima musim ini dijangka meningkat kepada 973,360 metrik tan, daripada keseluruhan pengeluaran padi (tahun 2022) sebanyak 2,281,736 metrik tan,” katanya kepada Sinar Harian.
Ismail berkata, sumbangan MADA kepada pengeluaran padi negara dijangka meningkat daripada 37.4 peratus kepada 42.7 peratus.
Menurutnya, bagi menjayakan projek berkenaan di kawasan Muda, pembinaan 15 blok baharu tersier akan dilaksanakan.
“Setakat ini, persediaan kontraktor untuk bina blok dan penyelenggaraan lancar. Saya jangka dapat disiapkan sebelum tempoh empat tahun dan selepas itu selenggara selama enam tahun,” ujar beliau.
Tambahnya, projek fasa satu itu turut membabitkan kerja membaik pulih dan menaik taraf Empangan Pedu bagi melancarkan penyaluran air ke sawah serta mengurangkan tempoh penyaliran air dari empangan.
“Langkah ini penting untuk menjayakan tanaman padi lima musim dalam dua tahun. Inisiatif kerajaan ini merupakan langkah besar dalam melonjakkan industri pertanian.
“Penyelenggaraan seperti itu tidak pernah dilakukan. Ia bertepatan dengan kenyataan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu yang mana kelemahan sistem pengairan dan saliran di seluruh negara penyebab utama pengurangan hasil padi,” jelas Ismail.
Katanya, usaha menaik taraf itu diharap dapat selesaikan semua masalah seterusnya melancarkan penyaliran air.
“Apabila projek ini siap dan tanaman padi lima musim dalam dua tahun dilaksanakan, kita sasarkan capai pengeluaran 5.9 tan per hektar secara purata bagi setiap musim,” ujarnya.
Pada 27 Februari lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meluncurkan projek pembangunan infrastruktur bagi menyokong penanaman padi lima musim dalam tempoh dua tahun di kawasan Muda menerusi peruntukan RM1 bilion.
Ismail juga memaklumkan, program penanaman padi lima musim dalam tempoh dua tahun di Kedah bermula pada 2022/2023 dan diperluaskan bagi tahun 2025/2026 berkeluasan 600 hektar, merangkumi beberapa wilayah di Perlis dan Kedah.
“Diharapkan hasil lebih tinggi dicapai berbanding musim sebelumnya. Kejayaan program terdahulu menjadi pemangkin untuk tingkatkan lagi produktiviti padi negara,” katanya.
Menurutnya, bagi tahun 2022/2023 purata hasil diperoleh sebanyak 4.91 tan per hektar, melibatkan kawasan seluas 213.99 hektar dengan penyertaan 165 peserta.
Beliau berharap pelaksanaan penanaman padi lima musim ini dapat membantu meningkatkan hasil padi negara selain menjadi langkah penting dalam memastikan bekalan beras negara sentiasa mencukupi dan terjamin.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

