Peluang lihat proses cetak al-Quran buka perspektif baharu

Penasihat Kumpulan Karangkraf merangkap Pengasas Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF), Datuk Hussamuddin Yaacub (tengah) bergambar bersama delegasi program International Islamic Homestay Tourism Festival yang membuat lawatan ke Kumpulan Karangkraf baru-baru ini.
Penasihat Kumpulan Karangkraf merangkap Pengasas Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF), Datuk Hussamuddin Yaacub (tengah) bergambar bersama delegasi program International Islamic Homestay Tourism Festival yang membuat lawatan ke Kumpulan Karangkraf baru-baru ini.
A
A
A

SHAH ALAM - Seramai 14 peserta program International Islamic Homestay Tourism Festival diberikan peluang melihat secara dekat proses percetakan al-Quran melalui sesi lawatan ke Kompleks Kumpulan Karangkraf, di sini pada Selasa.

Pengarah Rex Tours dari Bandung, Joseph Sugena Irianto berkata, beliau cukup tertarik untuk mengetahui proses penerbitan media dalam bentuk cetak mahupun elektronik di Kumpulan Karangkraf.

“Seperti Indonesia, khususnya di Bandung terdapat penerbit akhbar terbesar di Jawa Barat, Pikiran Rakyat. Kini rakyat di sana semakin kurang minat membaca.

“Kebanyakan masyarakat lebih cenderung kepada kandungan dalam bentuk audio visual berikutan perkembangan platform digital seperti TikTok, YouTube dan Instagram,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Delegasi tersebut terdiri daripada pelbagai agensi pelancongan, pengusaha inap desa dan badan bukan kerajaan (NGO) dari Indonesia dan Thailand.

Joseph Sugena berkata, lawatan tersebut turut membuka perspektif baharu dalam usaha menggalakkan kembali budaya membaca.

“Saya turut berpeluang melihat secara langsung proses penghasilan al-Quran di peringkat percetakan dan pengedaran.

“Kami sangat menghargai peluang ini dan berhasrat membawa lebih ramai rakyat Indonesia untuk melihat sendiri keunikan proses percetakan ini,” tambahnya.

Artikel Berkaitan:

Menurut Pengarah Urusan Thai Travel Business Co Ltd, Pramote Wandalah, sesi kunjungan ke Kumpulan Karangkraf memberi banyak ilmu baharu khususnya dalam bidang percetakan al-Quran.

“Jika ada kesempatan, saya berhasrat membawa rakan-rakan dari selatan Thailand untuk melawat ke sini. Kami sangat berterima kasih atas sambutan baik yang diberikan dan hubungan lebih erat pada masa akan datang,” ujarnya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Homestay Malaysia, Datuk Sahariman Hamdan yang mengetuai delegasi itu berkata, seramai 400 orang menyertai International Homestay Islamic Tourism Festival di Homestay Desa Murni, Temerloh, selama empat hari bermula 3 Mac 2025.

Program anjuran Persatuan Homestay Malaysia dengan kerjasama Pusat Pelancongan Islam (ITC) bertujuan untuk memberi pendedahan kepada peserta dari dalam dan luar negara mengenai budaya Ramadan di Malaysia.

“Peserta menimba pengalaman dengan berkunjung ke tujuh masjid di Selangor, Kuala Lumpur, Pahang untuk beriftar dan bertarawih di sana.

“Selain itu mereka juga berkunjung ke tempat-tempat menarik bagi memperkenalkan Malaysia di mata dunia,” ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!