Pegawai perubatan rugi RM86,200 terpedaya pelaburan kripto

KUALA TERENGGANU - Seorang pegawai perubatan rugi RM86,200 akibat terpedaya dengan pelaburan kripto tidak wujud menerusi aplikasi WhatsApp.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, pihaknya menerima laporan polis daripada seorang wanita berusia 39 tahun itu yang mendakwa dirinya menjadi mangsa penipuan skim tersebut.
"Pada bulan Oktober tahun lepas, wanita tersebut menerima pelawaan daripada seorang lelaki yang dikenali sebagai Lucas untuk menyertai sebuah grup dalam WhatsApp bagi berkongsi maklumat pasaran saham.
"Mangsa mula diperkenalkan dengan pelaburan kripto tersebut. Akibat tertarik dengan pelaburan itu, mangsa yang menggunakan duit simpanannya kemudian membuat pindahan wang ke dalam akaun diberi iaitu sebanyak lima transaksi pindahan wang berjumlah RM86,200," katanya dalam kenyataan di sini pada Rabu.
Mengulas lanjut, Azli berkata, mangsa telah cuba mengeluarkan wang keuntungan daripada pelaburan tersebut namun pelbagai alasan yang diberikan termasuk pembekuan akaun.
"Namun pada Isnin lalu, individu bernama Lucas itu sekali lagi mengarahkan mangsa untuk membuat pindahan wang bagi pengesanan semakan sumber pendapatan supaya membolehkan wang keuntungan mangsa dikeluarkan.
"Mangsa yang curiga dengan pelaburan tersebut telah membuat laporan polis semalam untuk tindakan dan siasatan lanjut," jelas beliau.
Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!