Ejen insurans rugi RM1.58 juta terpedaya skim pelaburan

KUALA LUMPUR – Seorang ejen insurans mengalami kerugian RM1.58 juta akibat diperdaya skim pelaburan.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, pihaknya telah menerima satu laporan polis di George Town, Pulau Pinang, pada 28 Februari lalu, berkaitan kes tersebut.
"Wanita berusia 58 tahun itu mendakwa telah berkenalan dengan individu bernama Goh Horng Wei (suspek) melalui aplikasi WhatsApp pada November tahun lalu.
"Suspek kemudiannya telah mengajak mangsa untuk menyertai satu pelaburan yang kononnya adalah berkaitan kegiatan perjudian di Singapura," katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Ramli berkata, mangsa telah memuat turun aplikasi pelaburan tersebut yang diperoleh daripada suspek dan mendaftar akaun untuk menyertai pelaburan.
"Setelah mendaftar, pengadu telah dihubungi oleh seorang individu yang kononnya pegawai khidmat pelanggan dan meminta pengadu membuat bayaran bagi memulakan pelaburan.
"Mangsa telah membuat 27 kali pindahan wang ke enam akaun bank syarikat yang berbeza sebanyak RM1,582,654 sejak 19 Disember hingga 20 Februari lalu," katanya.
Beliau berkata, siasatan mendedahkan, sebahagian besar wang yang dipindahkan oleh pengadu diperoleh secara pinjaman bank dan empat kad kredit berbeza.
"Selain itu, mangsa turut meminjam wang daripada rakan-rakannya, manakala baki yang lain adalah daripada wang simpanan," katanya.
Ramli berkata, mangsa berasa tertipu apabila tidak menerima pulangan yang dijanjikan.
"Malahan, pengadu secara berterusan diminta membuat bayaran tambahan sekiranya ingin mengeluarkan wang keuntungan yang dipaparkan melalui aplikasi pelaburan yang digunakan.
"Siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan sedang dijalankan," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
