Tiga hari tak makan, Aura kembali berselera disuap Aunty Pushpa

Perkongsian Nur Shafiqah (kanan) meraih perhatian pengguna media sosial
Perkongsian Nur Shafiqah (kanan) meraih perhatian pengguna media sosial
A
A
A

SHAH ALAM – Perkongsian seorang wanita menyentuh emosi ramai apabila menceritakan detik anaknya yang tidak lalu makan selama tiga hari ketika dirawat di hospital sebelum dibantu oleh sebuah keluarga India.

Menerusi perkongsian di media sosial, Nur Shafiqah Abdul Ralim berkata, anaknya, Nur Iman Aura Safiyya, 2, langsung tidak berselera makan meskipun pelbagai usaha dilakukan.

“Aura dimasukkan ke hospital akibat jangkitan rotavirus sehingga menyebabkan hilang selera makan selama beberapa hari.

“Dia memang tak nak makan langsung, susu pun tak nak. Memang risau sangat tengok keadaan dia yang makin lemah,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, situasi berubah apabila anaknya menghidu makanan yang dibawa oleh pesakit lain di wad berkenaan.

“Masa itu dia terbau makanan dan terus cakap nak makan. Saya pun serba salah sebab tak kenal keluarga tersebut.

“Tapi mereka sangat baik, siap cakap jangan tahan kalau budak nak makan. Saya bersyukur apabila keluarga tersebut dengan terbuka menyuapkan makanan kepada Aura tanpa rasa kekok walaupun berlainan bangsa dan agama.

“Terima kasih mama Manisha dan ‘aunty’ Pushpa yang sudi melayan Aura,” ujarnya.

Perkongsian tersebut menerima pelbagai reaksi pengguna media sosial apabila rata-rata menyifatkan situasi itu sebagai erti sebenar perpaduan antara kaum di negara ini.

Artikel Berkaitan:

Malah, ada pengguna yang mengenali individu tersebut turut memuji sikapnya yang mesra dan suka membantu.

Nur Shafiqah berkata, perkongsian itu dibuat bukan untuk meraih perhatian, sebaliknya sebagai peringatan tentang pentingnya nilai kemanusiaan dan keharmonian dalam masyarakat berbilang kaum.

Ringkasan AI

  • Anak Nur Shafiqah tak mahu makan selama tiga hari ketika dirawat di hospital akibat jangkitan rotavirus
  • Nur Iman Aura Safiyya, anak Nur Shafiqah, terpikat dengan makanan keluarga India yang berada di wad yang sama
  • Keluaraga India tersebut dengan baik hati menyuapkan makanan kepada Aura tanpa memandang perbezaan bangsa dan agama
  • Perkongsian ini menerima reaksi positif dari netizen sebagai lambang perpaduan antara kaum di Malaysia
  • Nur Shafiqah menyatakan tujuan perkongsian tersebut adalah untuk menekankan tentang pentingnya nilai kemanusiaan dan keharmonian dalam masyarakat berbilang kaum

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!