Kenaikan melampau fi lesen hotel, beri kesan buruk industri pelancongan Sabah

Sri Ganesh (tengah) mempersoalkan fi lesen hotel yang dikenakan melampau.
Sri Ganesh (tengah) mempersoalkan fi lesen hotel yang dikenakan melampau.
A
A
A

KOTA KINABALU - Persatuan Hotel Bajet dan Bisnes Malaysia (MyBHA) membantah kenaikan mendadak fi lesen yang dikenakan terhadap hotel dan rumah lojing di Kota Kinabalu, yang disifatkan sebagai tidak munasabah dan mengancam kelangsungan operasi hotel di negeri ini.

Presiden MyBHA, Dr Sri Ganesh Michiel berkata, kadar baharu ini mengembalikan fi lesen hotel seperti yang diperuntukkan dalam Undang-Undang Kecil (Hotel dan Rumah Lojing) Bandaraya Kota Kinabalu 1966, yang jauh lebih tinggi berbanding kadar sedia ada RM10 setiap bilik setahun yang ditetapkan Jemaah Menteri sejak 1989.

Menurutnya, keputusan menetapkan kadar lesen antara RM40 hingga RM140 setiap bilik sebulan berdasarkan klasifikasi dan kadar penghunian hotel akan memberi kesan kewangan serius kepada pengusaha hotel, yang kini terpaksa menanggung kos jauh lebih tinggi berbanding sebelum ini.

"Sebagai contoh, sebuah hotel dengan 100 bilik dalam kategori kelas kedua perlu membayar RM80 bagi setiap bilik yang dihuni. Jika kadar penghunian mencapai 60 peratus atau 1,860 bilik sebulan, jumlah fi lesen bulanan boleh mencecah RM4,800 sebulan atau RM57,600 setahun, berbanding hanya RM1,000 sebelum ini.

"Peningkatan mendadak ini tidak munasabah dan boleh menyebabkan banyak hotel terpaksa menutup operasi, sekali gus mengakibatkan kehilangan pekerjaan serta mengurangkan pilihan penginapan mampu milik untuk pelancong," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Beliau yang juga Setiausaha Agung Gabungan Persatuan-Persatuan Pelancongan Malaysia (MTF) turut membangkitkan ketidakseimbangan dalam persaingan kerana penginapan sewa jangka pendek (STRA) tidak dikenakan peraturan yang ketat seperti hotel.

"Pengusaha STRA beroperasi tanpa lesen dan tidak dikenakan cukai atau pematuhan peraturan kesihatan dan keselamatan.

"MyBHA telah berulang kali menggesa kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan, dan Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah (KePKAS) menangani isu STRA ini, namun tiada tindakan konkrit diambil sehingga kini," katanya.

Sehubungan itu, MyBHA menggesa kerajaan negeri dan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) untuk mengembalikan kadar fi lesen RM10 setiap bilik setahun bagi memastikan kelangsungan industri perhotelan.

Artikel Berkaitan:

"MyBHA juga meminta kerajaan menangguhkan penguatkuasaan kadar baharu ini dan mengadakan sesi libat urus dengan industri hotel bagi membincangkan penyelesaian yang lebih adil.

"Selain itu, kawal selia ketat perlu dikenakan terhadap operator STRA termasuk pengenaan cukai bagi memastikan persaingan yang adil dan mengelakkan tekanan yang tidak wajar terhadap pengusaha hotel berlesen," katanya.

Tegas Sri Ganesh lagi, jika isu itu tidak ditangani segera, ia boleh menjejaskan industri pelancongan Sabah kerana keadaan perniagaan yang tidak kondusif akan menghalang pelaburan dalam sektor hotel.

"MyBHA turut menggesa semua pengusaha hotel, pemegang taruh industri pelancongan, dan wakil rakyat menyuarakan bantahan mereka bagi memastikan tindakan segera diambil untuk menyelesaikan krisis ini," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!