Larangan JPV didakwa beri kesan kepada penternak

KOTA BHARU - Tindakan larangan pemindahan premis ternakan dari jarak kurang dua kilometer dari sempadan negeri Kelantan-Thailand oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Kelantan akan memberi kesan kepada lebih 80 penternak berskala besar di negeri ini.
Wakil penternak lembu di negeri ini, Dr Asran Alias mendakwa, larangan itu turut memberi kesan langsung kepada lebih 30 penternak di daerah Tumpat, Pasir Mas, Tanah Merah dan Jeli kerana ladang mereka berdekatan kawasan sempadan.
Menurutnya, ramai penternak mengeluh kerana mereka akan berdepan kerugian besar selain kemungkinan berlaku kenaikan harga daging lembu.
"Kami menerima surat mengenai larangan itu pada 12 Januari lalu yang berkuat kuasa serta-merta," katanya kepada pemberita di sini pada Khamis.
Hadir sama, peguamnya, Hisham Fauzi.
Asran berkata, penternak bersedia melakukan perbincangan dengan JPV bagi mencari jalan penyelesaian mengenai perkara itu.
Jelasnya lagi, penternak juga memerlukan bukti jika benar terdapat jangkitan penyakit kuku dan mulut (FMD) kerana setakat ini mereka tidak menerima sebarang laporan makmal atau ujian berkaitan.
Dalam pada itu, Asran menegaskan pihaknya tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang menuntut kerugian yang dialami jika tiada jalan penyelesaian dalam tempoh dua minggu.
"Kami juga sudah menghantar memorandum bantahan bertarikh 24 Februari 2025 kepada Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan serta Exco Pertanian, Industri Agro Makanan dan Komodi Kelantan, Datuk Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail," katanya.
Sementara itu, Hisham mendakwa, keputusan itu dibuat tanpa kajian menyeluruh dan bercanggah dengan Protokol Veterinar Malaysia Jilid Ketiga (PVM1/(9):3/2022) yang dikeluarkan oleh JPV Malaysia.
"Menurut garis panduan rasmi, sekatan hanya boleh dikenakan dalam radius 1km dari premis terjangkit dan tidak membabitkan jarak sempadan negara.
"Selain itu sehingga kini JPV Kelantan tidak mengemukakan bukti ujian itu sebelum mengenakan larangan," katanya.
Sebelum itu, penternak terbabit menerima surat daripada JPV memaklumkan dalam tindakan mengawal penyakit yang melibatkan ternakan ruminan seperti kuku dan mulut (FMD), brucellosis, penyakit kulit berketul (LSD) dan lain-lain terutama di kawasan sempadan negara.
Jabatan itu turut memaklumkan premis ternakan yang berdekatan dengan sempadan Thailand atau jarak premis kurang dari 2km radius dari sempadan dilarang untuk memindahkan ternakan dari premis ke luar sama ada dalam atau luar negeri.
Pembinaan kandang dibenarkan hanya bertujuan pemeliharaan sahaja di dalam kawasan tersebut dan larangan bertujuan untuk mengatasi masalah penyeludupan ternakan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
