RM1 tidak beri kesan kepada golongan berpendapatan rendah

SHAH ALAM - Data terkini daripada bank-bank menunjukkan bahawa fi RM1 tidak memberi kesan kepada individu berpendapatan rendah, sebaliknya membolehkan pengguna lain menikmati kemudahan tersebut.
Kebanyakan penduduk di kawasan luar bandar tidak akan terjejas kerana lazimnya mereka akan mengeluarkan wang tunai daripada mesin pengeluaran automatik (ATM) bank masing-masing.
Contohnya, di daerah Pitas, Sabah, pengeluaran wang antara bank di mesin ATM hanya menyumbang sekitar 30 peratus daripada jumlah transaksi, manakala Kota Setar, Kedah yang mempunyai lapan ATM, lebih kurang 75 peratus pengeluaran ATM melibatkan pelanggan bank ATM itu sendiri.
Walau bagaimanapun, pengeluaran ATM antara bank di kawasan bandar seperti Kuching, Sarawak merangkumi lebih kurang 65 peratus daripada jumlah transaksi walaupun terdapat 112 ATM.
Keadaan itu bukan hanya disebabkan oleh faktor pengeluaran tunai semata-mata, tetapi juga kerana aspek kemudahan di sesebuah kawasan.
Pelanggan mungkin memilih ATM antara bank kerana kedudukannya lebih dekat dari tempat tinggal mereka selain mudah diakses dan bukan disebabkan kekurangan pilihan mesin pengeluaran wang antara bank yang mempunyai pengeluaran percuma.
Dalam pada itu, kos penyelenggaraan mesin ATM yang tinggi tidak dapat ditanggung dengan kutipan fi sebanyak RM1.
Hal ini kerana, daripada fi RM1, hanya sebahagian kecil akan diperuntukkan kepada Payments Network Malaysia Sdn Bhd (PayNet) untuk mengendalikan dan menyelenggara rangkaian sistem ATM yang membolehkan pengeluaran tunai antara bank.
Bakinya itu diperuntukkan kepada bank-bank untuk menampung kos operasi ATM.
Kos tersebut termasuk pengangkutan kemasukan wang tunai ke ATM, penyelenggaraan sistem keselamatan, pemeliharaan sistem dan sewa premis.
Bank tanggung pelbagai kos tambahan

Penetapan fi RM1 pada tahun 1990 adalah mengikut kos operasi perkhidmatan sejak 30 tahun lalu.
Berdasarkan data yang diperoleh pada tahun 2021, bank-bank menunjukkan bahawa kos untuk mengekalkan sebuah ATM adalah antara RM1.50 dan RM2 bagi setiap transaksi.
Walaupun perbelanjaan operasi dan inflasi meningkat, kebanyakan bank kekal menanggung kos tambahan dengan mengekalkan fi RM1 untuk pengguna lebih 30 tahun.
Jika bank tidak mengenakan fi berkemungkinan wujud kesan yang besar terhadap pengguna.
Bagi menguruskan kos, pihak bank mungkin akan mengehadkan penggunaan ATM kepada pelanggan mereka sendiri dengan menyekat akses bagi transaksi antara bank.
Dalam senario yang lebih drastik, bank-bank boleh mengurangkan bilangan ATM dalam rangkaian secara keseluruhan.
Perkara tersebut boleh menyebabkan akses berkurangan terhadap pengguna, sekali gus memberikan kesukaran akses selain mengehadkan perkhidmatan perbankan kepada masyarakat.
Oleh itu, dengan mengekalkan fi, ia dapat memastikan keseimbangan antara kemampanan operasi dan akses pengguna dan menyokong pengukuhan infrastruktur kewangan yang memberi manfaat kepada orang ramai.
Pilihan pengeluaran wang ATM secara percuma
Dalam pada itu, selain mengeluarkan wang daripada ATM bank sendiri, pelanggan boleh mengakses wang tunai secara percuma menerusi ejen yang dilantik oleh bank masing-masing dan bank bergerak.
Pengguna juga boleh menggunakan alternatif lain seperti MyDebit Cash Out (MDCO) yang ditawarkan di kedai-kedai runcit yang mengambil bahagian.
Contohnya cawangan Pos Malaysia terpilih mempunyai perkhidmatan tersebut dengan fi minimal 50 sen untuk setiap transaksi.
Terdapat juga lebih 4,000 ejen bank dan 600 perkhidmatan MDCO di seluruh negara yang menawarkan pengeluaran tunai.
Nafi tuduhan tidak berasas
Sebelum ini, Kesatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja Bank Malaysia (NUBE) dengan lantang mengkritik fi ATM yang mendakwa PayNet meraih keuntungan sebanyak RM544 juta dan Bank Negara Malaysia (BNM) menerima 36 sen bagi setiap transaksi daripada fi RM1 adalah tidak berasas.
Menurut laman sesawang rasminya, PayNet tidak mengisytiharkan dividen kepada mana-mana pemegang sahamnya.
Sebaliknya, institusi tersebut hanya melaburkan semula lebihan keuntungan untuk memperkukuh infrastruktur kewangan Malaysia.
Misalnya, pelaburan semula itu ialah pengecualian fi semasa untuk transaksi DuitNow di bawah RM5,000 yang membolehkan pengguna menikmati manfaat e-pembayaran tanpa kos.
Tuduhan sedemikian telah menimbulkan keraguan tentang kredibiliti NUBE dan keberkesanannya dalam mewakili pekerja bank.
Baru-baru ini, NUBE turut menghadapi kesukaran apabila Mahkamah Perindustrian menolak kes mereka mengenai pertikaian bantuan perayaan.
Mereka turut memutuskan bahawa percubaan untuk memanggil Menteri Sumber Manusia, Steven Sim merupakan penyalahgunaan proses.
Keputusan itu menekankan kecenderungan persatuan tersebut untuk melakukan tuntutan tanpa asas yang mencukupi.
Tindakan NUBE dan dakwaan tidak berasas menimbulkan persoalan bukan sahaja tentang motif mereka tetapi juga tentang keupayaan mewakili kepentingan pekerja bank dengan tulus.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
