Bazar Ramadan terpanjang di Perak beroperasi esok

Suasana bazar Ramadan di BSAS yang merupakan terpanjang di Perak pada tahun lalu.
Suasana bazar Ramadan di BSAS yang merupakan terpanjang di Perak pada tahun lalu.
A
A
A

IPOH – Bulatan Sultan Azlan Shah (BSAS) dijangka sekali lagi menjadi tumpuan sepanjang bulan Ramadan dengan penganjuran bazar Ramadan terpanjang di Perak sejauh kira-kira 500 meter yang akan bermula Ahad.

Ketua Eksekutif Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNPk), Datuk Redza Rafiq Abdul Razak berkata, memasuki tahun ketiga penganjurannya sejak 2023, bazar kali ini menawarkan lebih banyak lot perniagaan serta pelbagai kemudahan baharu bagi keselesaan pengunjung.

Menurutnya, daripada 100 lot sebelum ini meningkat kepada 121 lot dengan jangkaan penerimaan pengunjung seramai 120,000 orang berbanding 70,000 pengunjung pada tahun lalu.

"Bazar ini sebagai platform penting bagi usahawan PKS (perusahaan kecil dan sederhana) menjana pendapatan sepanjang Ramadan. Peningkatan jumlah lot ini mencerminkan komitmen kami dalam menyokong PKS yang merupakan tunjang ekonomi tempatan.

"Ia juga selari dengan matlamat Perak Sejahtera 2030 yang bertujuan memperkasakan ekonomi rakyat secara inklusif," katanya dalam satu kenyataan.

Redza Rafiq berkata, lebih menarik lagi, semua 121 lot perniagaan melibatkan pakej Gold dan Silver habis ditempah dalam masa tiga minggu.

Menurutnya, masa operasi bazar juga dipanjangkan bermula dari jam 4 petang hingga 12.30 tengah malam bagi memberi lebih ruang kepada pengunjung menikmati juadah serta suasana bazar yang unik.

Dalam pada itu, mengambil maklum isu kesesakan lalu lintas dan kekurangan parkir pada tahun lalu, beliau memaklumkan PKNPk telah menyediakan tambahan 500 lot parkir di sekitar kawasan Menara A, Menara B dan Rumah Tradisional Melayu.

Katanya, laluan pejalan kaki juga dinaiktaraf dengan bahan quarry dust agar lebih selesa manakala kemudahan surau baharu yang boleh memuatkan 40 jemaah dalam satu masa turut disediakan.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, sebanyak RM970,000 diperuntukkan untuk pemasangan 75 unit lampu solar bagi membolehkan pengunjung menikmati suasana berbuka puasa yang lebih nyaman dengan latar belakang panorama Banjaran Titiwangsa dan Kledang Saiong.

Sementara itu, Redza Rafiq berkata, bagi menyemarakkan Ramadan, PKNPk merancang untuk menganjurkan Solat Terawih Mega dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk).

Menurutnya, dari segi juadah pula, bazar tersebut menampilkan pelbagai menu popular seperti Peknga Ubi oleh Zul Yahya, Ayam Goreng Furaido, Nasi Padang Tok Abi, Nasi Kaomok Ori Thai, dan Nasi Ayam Taugeh Las Vegas.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!