Pastikan jualan di bazar Ramadan tidak tercemar

KEDATANGAN bulan Ramadan, penghulu segala bulan, sentiasa dinanti-nantikan oleh umat Islam. Ini adalah waktu untuk memperbanyakkan ibadah dan memperbaiki diri.
Selain itu, satu lagi perkara yang tidak dapat dipisahkan adalah bazar Ramadan. Bazar ini menjadi destinasi utama bagi umat Islam untuk membeli juadah berbuka puasa, dengan pelbagai pilihan makanan dan minuman yang lazat.
Bazar Ramadan bagaikan 'syurga makanan' yang menawarkan pelbagai hidangan tempatan yang sukar ditemui pada hari biasa.
Makanan tradisional seperti nasi kerabu, martabak, ayam percik dan kuih-muih turut dijual dengan harga yang berpatutan. Ia menjadikan bazar Ramadan sebagai tempat yang penuh kemeriahan dan menjadi tumpuan ramai, termasuk bukan Islam.
Namun, di sebalik kegembiraan ini, sering kali timbul beberapa isu yang perlu diambil perhatian. Salah satu masalah utama adalah keracunan makanan.
Setiap tahun, terdapat kes-kes keracunan makanan yang melibatkan juadah berbuka puasa di bazar Ramadan.
Sebagai contohnya, dua beradik terpaksa menerima rawatan lanjut di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) selepas mengalami cirit-birit dan muntah dipercayai selepas memakan puding buih dibeli di sebuah bazar Ramadan di Kuala Terengganu pada tahun 2022.
Pada tahun 2023, dua lagi kes keracunan makanan berlaku iaitu di sebuah bazar Ramadan di Kota Kinabalu, Sabah dan sebuah bazar Ramadan lagi di Segamat, Johor.
Pada tahun lepas, Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) dilaporkan menerima tiga aduan kes keracunan makanan dan makanan basi yang melibatkan juadah berbuka dijual peniaga bazar Ramadan di Taman Universiti, Skudai, Johor.
Perkara ini haruslah diberi perhatian serius kerana keracunan makanan boleh membahayakan kesihatan, malah ada kes yang lebih parah sehingga meragut nyawa.
Pada tahun 2020, seorang wanita berusia 25 tahun meninggal dunia selepas dipercayai terdedah kepada keracunan makanan daripada puding buih yang dibelinya dalam talian.
Kejadian ini seharusnya menjadi pengajaran bahawa proses pengendalian makanan dengan cara yang betul dan selamat amat penting.
Selain keracunan makanan, isu kualiti makanan juga sering diperkatakan. Pada tahun lepas, tular di media sosial mengenai penemuan kain buruk dalam martabak yang dibeli di sebuah bazar Ramadan di Desa Pandan, Ampang.
Wanita yang menemui kain tersebut berkongsi pengalamannya di Facebook, menyebabkan ramai pengguna merasa terkejut dan kecewa dengan pengendalian makanan yang tidak berhati-hati. Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah mengambil tindakan dengan mengenakan kompaun terhadap peniaga yang terlibat.
Tidak ketinggalan, isu harga makanan yang semakin meningkat juga menjadi perbualan hangat. Tahun 2023, harga martabak ayam dan daging naik antara RM5 hingga RM6 sebiji dan pada tahun 2024, harganya meningkat kepada RM7 hingga RM8 sebiji.
Walaupun satu hidangan mungkin kelihatan murah, jika kita mengambil kira harga makanan untuk seisi keluarga, jumlahnya pasti membebankan.
Bagi penulis, bazar Ramadan adalah satu tempat istimewa yang memberi peluang kepada pengunjung untuk membeli makanan sedap dan lazat selepas penat bekerja.
Janganlah, merencatkan kemeriahan Ramadan dengan isu keracunan makanan ataupun makanan tidak berkualiti terutamanya basi dan berkulat mahupun harga terlalu tinggi.
Penulis bersetuju dengan tindakan kerajaan Kelantan yang mengingatkan peniaga bazar Ramadan agar tidak menjual makanan basi dan yang dipanaskan semula.
Akhir kata, adalah penting untuk peniaga memastikan kebersihan dan keselamatan makanan yang dijual, manakala pengguna juga perlu berhati-hati dalam memilih juadah berbuka puasa mereka.
Dengan kerjasama semua pihak, bazar Ramadan dapat terus menjadi tempat yang selamat, meriah dan menyenangkan bagi semua.
* Nurul Hidayah Hamid ialah wartawan Sinar Harian Kedah
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

