Skandal beras campur: Ini satu pengkhianatan kepada rakyat!

KITA dah biasa dengar cerita orang kena tipu. Ada yang tertipu dengan scammer, ada yang terpedaya dengan skim cepat kaya.
Tapi ini lain macam. Ini bukan sekadar penipuan kecil-kecilan. Ini skandal besar yang menipu seluruh rakyat Malaysia!
Baru-baru ini, MARDI bongkar beras tempatan bersubsidi dicampur dengan beras import. Maksudnya? Beras yang kita beli dengan label gred tertentu rupa-rupanya bukan seperti yang kita sangka.
Jangan terkejut, ini bukan kes pertama. Tapi kali ini, ia mencetuskan persoalan besar - siapa yang bersekongkol? Ini bukan kerja seorang dua atau setahun dua, ini kerja sistemik yang melibatkan banyak tangan ghaib sejak sekian lama.
Hakikatnya, implikasi besar pendedahan skandal penipuan terbesar libat beras negara ini bukan sekadar berkisar aspek periuk nasi rakyat.
Lebih mengecewakan, ia turut memberi kesan terhadap keberkatan amal ibadah umat Islam menjelang Ramadan dan perayaan Aidilfitri.
Pertama, rakyat yang susah makin susah. Kita beli beras dengan sangkaan dapat kualiti baik, tapi dapat hampas. Golongan maha kaya mungkin tak terasa, tapi yang makan nasi setiap hari? Bayangkan kesannya pada ibu tunggal, keluarga miskin, peniaga makanan.
Kedua, ini soal amanah! Beras adalah makanan ruji, kalau ia pun tak boleh dipercayai, apa lagi yang selamat? Kerajaan kena bertindak keras. Kalau ayam naik harga, boleh subsidi. Kalau beras dicampur, apa penyelesaiannya?
Ketiga, ini isu zakat fitrah! Bayangkan, kita bayar zakat ikut harga dan gred beras tertentu. Tapi kalau beras itu sendiri tidak menepati piawaian? Ini boleh menjejaskan niat dan ibadah umat Islam yang membayar zakat dengan harapan amalan itu disempurnakan dengan baik.
Merak Jalanan nak tanya, sampai bila kita nak biarkan perkara ini berlalu tanpa tindakan tegas? Ini bukan sekadar manipulasi harga, ini pengkhianatan kepada rakyat!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

