Kerajaan digesa ambil tindakan tegas terhadap pengilang beras

Kerajaan digesa mengambil tindakan tegas terhadap pengilang beras yang menipu dengan menarik balik lesen mereka bagi memastikan keterjaminan makanan negara terus terpelihara. (Gambar kecil: Mohd Hilmi)
Kerajaan digesa mengambil tindakan tegas terhadap pengilang beras yang menipu dengan menarik balik lesen mereka bagi memastikan keterjaminan makanan negara terus terpelihara. (Gambar kecil: Mohd Hilmi)
A
A
A

GEORGE TOWN - Kerajaan digesa mengambil tindakan tegas terhadap pengilang beras yang menipu dengan menarik balik lesen mereka bagi memastikan keterjaminan makanan negara terus terpelihara.

Ketua Pemuda UMNO Pulau Pinang, Mohd Hilmi Elias berkata, penipuan dalam industri beras bukan sahaja merugikan pengguna malah boleh memberi kesan buruk kepada kestabilan bekalan makanan negara.

“Ini jelas membuktikan bahawa amalan penipuan ini bukan perkara baharu dan perlu ditangani segera.

"Kerajaan perlu bertindak lebih tegas dengan menarik balik lesen mana-mana pengilang yang terbukti terlibat dalam perbuatan ini,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Tambahnya, kerajaan harus memastikan semua pihak dalam rantaian bekalan beras termasuk pengilang, pemborong dan peruncit mematuhi peruntukan undang-undang di bawah Akta Kawalan Padi dan Beras 1994 (Akta 522) serta peraturan-peraturan berkaitan.

“Tindakan tegas seperti menarik lesen akan memberi isyarat jelas bahawa kerajaan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang menipu rakyat.

"Langkah tegas kerajaan dalam menangani isu ini akan membantu meningkatkan keyakinan rakyat terhadap usaha memastikan industri beras negara dikawal dengan lebih baik serta bebas daripada sebarang unsur penipuan," ujarnya lagi.

Sebelum ini, media melaporkan kira-kira 40 hingga 50 peratus beras putih import (BPI) daripada 5,000 sampel yang dianalisis Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) disahkan bercampur dengan beras putih tempatan (BPT).

Artikel Berkaitan:

Pegawai Penyelidik Kanan Biologikal Sains (Genetik) Pusat Penyelidikan Bioteknologi dan Nanoteknologi MARDI, Mohd Shahril Firdaus Ab Razak berkata, kajian menggunakan teknologi pencapjarian asid deoksiribonukleik (DNA) beras itu dijalankan sepanjang 2023 dan 2024.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!