Bungkus dadah dalam rumah

Shahrulanuar (tengah) menunjukkan dadah yang dirampas selepas serbuan di Jalan Parit Botak, Senggarang, Batu Pahat.
Shahrulanuar (tengah) menunjukkan dadah yang dirampas selepas serbuan di Jalan Parit Botak, Senggarang, Batu Pahat.
A
A
A

BATU PAHAT – Sebuah rumah di Jalan Parit Botak, Senggarang yang dijadikan stor penyimpanan dan pusat pembungkusan semula dadah sebelum diedarkan ke pasaran tempatan terbongkar selepas diserbu polis.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani berkata, serbuan dilakukan oleh sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Batu Pahat pada jam 6.30 petang, Isnin lalu.

"Dalam serbuan itu, polis berjaya menahan dua lelaki tempatan berusia 36 dan 39 tahun. Hasil ujian saringan awal air kencing mendapati kedua-duanya positif dadah jenis Methamphetamine.

"Semakan rekod jenayah mendapati seorang daripada suspek mempunyai enam rekod lampau berkaitan dadah dan jenayah, manakala seorang lagi mempunyai satu rekod lampau berkaitan kesalahan dadah," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Menurut beliau, sindiket terbabit dipercayai mula beroperasi sejak Oktober 2024 dan menggunakan rumah berkenaan sebagai lokasi utama bagi menyimpan serta membungkus dadah sebelum diedarkan.

"Hasil serbuan, polis berjaya merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM52,280, antaranya enam peket plastik lutsinar berisi syabu seberat 1,090 gram dan 87 kerajang timah mengandungi 870 biji pil dipercayai Erimin 5.

"Dadah yang dirampas dianggarkan mampu digunakan oleh kira-kira 3,000 penagih," katanya.

Selain itu beliau memberitahu, polis turut menyita sebuah kereta, sebuah motosikal serta wang tunai RM1,500, menjadikan jumlah keseluruhan rampasan dan sitaan bernilai RM88,780.

"Kedua-dua suspek kini direman selama tujuh hari bermula 24 Februari hingga 2 Mac bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Artikel Berkaitan:

"Jika disabitkan kesalahan, mereka boleh dihukum mati atau penjara seumur hidup serta dikenakan sebatan,"ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!