Kondominium jadi stor simpan dadah RM2.5 juta diserbu

JOHOR BAHRU – Satu sindiket dadah yang menjadikan kondominium berpagar sebagai stor penyimpanan diserbu dalam satu operasi khas di sekitar bandar raya ini pada 16 Februari lalu.
Ketua Polis Johor, Datuk M Kumar berkata, operasi yang dijalankan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Johor Bahru Selatan bersama Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor bermula jam 4.30 pagi hingga 11.15 malam.
“Hasil empat serbuan yang dilakukan, seorang lelaki tempatan berusia 39 tahun berjaya diberkas.
"Saringan urin mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine selain mempunyai rekod berkaitan dadah,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Menurutnya, polis turut merampas dadah lebih 15 kilogram (kg) yang terdiri daripada serbuk ekstasi dan 55 gram syabu yang dianggarkan bernilai lebih RM2.5 juta.
Ujar beliau, dadah yang dirampas itu mampu menampung keperluan 51,777 penagih dan sindiket pengedaran tersebut dipercayai aktif beroperasi sejak Januari lalu.

"Modus operandi sindiket adalah menggunakan kondominium berpagar dan berpengawal bagi menyimpan serta membungkus semula dadah untuk pasaran tempatan.
"Polis turut merampas pelbagai peralatan memproses dan membungkus dadah serta menyita sebuah kereta bernilai RM72,200 dan wang tunai RM220.
“Jumlah keseluruhan rampasan dan sitaan dalam operasi ini dianggarkan bernilai RM2.65 juta,” katanya.
Suspek telah dituduh di Mahkamah Majistret Johor Bahru hari ini, atas dua pertuduhan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 39A(1) yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup serta sebatan jika disabitkan kesalahan.
Sementara itu, Kumar memaklumkan, polis kini sedang giat mengesan seorang lelaki warga tempatan bernama Tan Hua Chiek, 34, bagi membantu siasatan.
"Kita percaya ada beberapa orang yang mendalangi atau bersama dengan tangkapan ini.
"Justeru, pihak polis kini giat mengesan individu ini yang beralamat tetap di Kuching, Sarawak itu bagi membantu siasatan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

