Jerman, Turkiye diterima jadi negara pemerhati ADMM

GEORGE TOWN - Jerman dan Turkiye secara rasmi diterima sebagai negara pemerhati dalam Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN (ADMM) bagi tempoh 2024 hingga 2027.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, keputusan itu dicapai secara konsensus selepas beberapa tahun permohonan kedua-dua negara itu ditolak oleh beberapa negara anggota ASEAN sebelum ini.
"Setelah beberapa tahun memohon, akhirnya semua negara ASEAN bersetuju menerima Jerman dan Turkiye sebagai pemerhati dalam ADMM bagi tempoh 2024 hingga 2027.
“Kita bersyukur kerana di bawah kepengerusian ASEAN kali ini, kesemua negara mencapai persetujuan,” katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Sesi Permukiman Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN 2025 (ADMM Retreat 2025) di sini pada Rabu.
Beliau menambah, penyertaan dua negara itu akan memperkukuh kedudukan ADMM sebagai kerangka keselamatan serantau yang lebih terbuka dan insklusif.
“Sebagai pemerhati, mereka boleh berkongsi perspektif, pandangan serta kepakaran dalam isu pertahanan dan keselamatan.
"Ini secara tidak langsung membantu memperkukuh kestabilan dan keamanan di rantau ASEAN,” tambahnya lagi.
Sementara itu, mengulas penyertaan Timor-Leste sebagai pemerhati dalam ADMM kali ini, Mohamed Khaled berkata, langkah itu sebagai pendedahan awal sebelum negara tersebut diterima sebagai anggota penuh ASEAN.
“Ini akan membantu pembangunan kapasiti mereka agar apabila diterima kelak, tidak wujud jurang besar antara Timor-Leste dan negara anggota ASEAN lain,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

