ADMM Retreat terima semua usul dibawa Malaysia

Mohamed Khaled mewakili Malaysia mempengerusikan ADMM Retreat pada Rabu.
Mohamed Khaled mewakili Malaysia mempengerusikan ADMM Retreat pada Rabu.
A
A
A

GEORGE TOWN - Pemukiman Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN (ADMM Retreat) menerima semua isu yang diusulkan Malaysia antaranya kecerdasan buatan (AI), keselamatan siber dalam pertahanan, keselamatan maritim, bantuan kemanusiaan, dan pengurusan bencana.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, semua usul dibawa adalah perkara yang dianggap perlu diketengahkan dalam ADMM Retreat sebelum ia dibawa ke Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN pada November nanti.

"ADMM menerima semua perkara dibawa seperti yang saya maklumkan semalam. Apa yang kita tahu, pemukiman ini adalah ruang untuk kita (negara anggota) bertukar pandangan.

"Pemukiman ini juga bertujuan membolehkan semua pihak berkongsi pandangan dan daripada situ, ia akan dijadikan asas perbincangan dalam mesyuarat kita pada November nanti," katanya pada sidang akhbar selepas sesi ADMM Retreat di sini pada Rabu.

Sebelum ini, Malaysia yang mempengerusikan ADMM Retreat membawa enam usul iaitu keselamatan dipengaruhi penggunaan AI dan keselamatan siber, memperkukuhkan keselamatan maritim dalam negara ASEAN, bantuan kemanusiaan dan pengurusan bencana termasuk mencari dan menyelamat, kerjasama industri pertahanan, ancaman keselamatan daripada pelaku bukan negara, dan risiko biosekuriti.

Mengulas lanjut, Mohamed Khaled berkata, penggunaan AI dan teknologi adalah sesuatu tidak boleh dielakkan, namun perlu dipantau agar tidak memberi ancaman kepada negara.

"Penggunaan AI dan teknologi tanpa kawalan akan menyebabkan kemudaratan. Jika tiada tanggungjawab, maka penggunaan AI dan teknologi boleh mendatangkan banyak kesan buruk.

"Jadi, atas sebab itulah menteri-menteri pertahanan negara ASEAN memilih dan menerima resolusi yang berkaitan dengan soal AI.

"Ia juga menunjukkan komitmen negara-negara ASEAN untuk mempromosikan penggunaan AI secara bertanggungjawab dalam sektor pertahanan dan keperluan untuk merapatkan jurang yang terdapat melalui penggunaan AI dalam negara ASEAN," jelasnya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, pemukiman tersebut juga telah membincangkan resolusi mengukuhkan kerjasama antara ASEAN dan masyarakat antarabangsa dalam menangani cabaran keselamatan baharu di rantau ini serta di peringkat global.

"Ia mengenai usaha memperkukuhkan kesepaduan ASEAN dan kerjasama serantau dalam menghadapi cabaran keselamatan yang semakin berkembang. Kami telah membincangkan pelbagai bentuk kerjasama pertahanan berdasarkan kepentingan untuk mengekalkan kesatuan ASEAN dan memperkukuhkan kerjasama antara ahlinya.

"Selain itu, negara ASEAN juga membincangkan isu penting iaitu cabaran keselamatan tradisional dan bukan tradisional yang kian meningkat yang mana ia tidak boleh diabaikan.

"Memperkukuhkan kesepaduan ASEAN dan kerjasama serantau juga merujuk kepada keperluan untuk mengekalkan serta meningkatkan keutamaan ASEAN," katanya.

Mengulas lanjut, ADMM Retreat juga menerima usul mengenai keperluan untuk memperkukuhkan hubungan antara rakyat (people-to-people relations) serta memberi perhatian kepada ADMM dan ADMM-Plus.

"Dalam konteks ini, kita akan menganjurkan bengkel mengenai masa depan ADMM dan ADMM-Plus. Kita juga tidak boleh mengabaikan kepentingan diplomasi pertahanan.

"Salah satu perkara dipersetujui adalah memulakan kesedaran mengenai keperluan melindungi infrastruktur kabel dasar laut. Kita menyedari situasi berlaku di Laut Baltik yang mana terdapat banyak isu dan ancaman keselamatan berkaitan.

"Beberapa insiden berlaku dan kita percaya sudah tiba masanya untuk meningkatkan kesedaran serta memikirkan bagaimana infrastruktur kabel dasar laut di rantau ini perlu diberi perhatian dan dipertimbangkan dari sudut pertahanan di bawah ADMM," katanya.

Dalam pada itu, Mohamed Khaled berkata, pemukiman tersebut turut membincangkan isu lain seperti keselamatan makanan.

"Jika perkara ini tidak diberi perhatian, cabaran baharu mungkin timbul. Selain itu, isu jenayah rentas sempadan turut dibangkitkan termasuk cara meningkatkan kerjasama dan berkongsi pengalaman dalam mengurus sempadan," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!