Lelaki OKU didakwa cabul budak perempuan dituduh Khamis ini

SHAH ALAM - Seorang lelaki kurang upaya (OKU) pembelajaran yang diberkas selepas didakwa mencabul seorang kanak-kanak dalam kejadian di Batang Kali, Hulu Selangor, minggu lalu akan dituduh di Mahkamah Majistret Ampang pada Khamis.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, kertas siasatan berhubung kes itu telah lengkap dan dirujuk ke Pejabat Pendakwa Raya IDCC Selangor pada hari ini (Selasa).
"Hasil penelitian pihak pendakwaan, suspek akan dituduh di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.
"Jika sabit kesalahan, suspek boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan,” katanya menerusi kenyataan pada Selasa.
Katanya, kes berkenaan dijadualkan untuk pertuduhan pada 27 Februari 2025, jam 9.00 pagi di Mahkamah Majistret Ampang.
Dalam kejadian pada Jumaat, Polis Hulu Selangor menerima laporan pada jam 8.19 pagi berhubung kejadian yang tular di media sosial itu, sebelum suspek ditahan pada hari yang sama di sekitar Batang Kali.
Ketika kejadian, mangsa sedang menunaikan solat di saf belakang ruang solat wanita di masjid berkenaan.
Dalam kejadian itu, tular rakaman kamera litar tertutup (CCTV) memaparkan seorang lelaki menyelinap masuk ke ruang solat wanita sebelum memeluk seorang kanak-kanak yang sedang sujud dari arah belakang ketika jemaah lain sedang menunaikan solat Subuh.
Berdasarkan rakaman itu, lelaki terbabit mengangkat mangsa dan membawanya ke ruangan lain sebelum dipercayai dicabul.
Mangsa dapat melepaskan diri selepas bergelut dengan suspek.
Sinar Harian pada 22 Februari lalu melaporkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) mengesahkan lelaki terbabit memiliki kad orang kurang upaya (OKU) masalah pembelajaran.
Pengarah JKM Selangor, Azmir Kassim berkata, pemeriksaan dan semakan mendapati individu terbabit mempunyai kad OKU sejak kecil lagi.
Menurut beliau, suspek memang mempunyai kad OKU Learning Disability (masalah pembelajaran) sejak kecil lagi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

