Suspek cabul kanak-kanak di masjid perlu diberi hukuman setimpal - Warda Selangor

SHAH ALAM - Wanita Muda Amanah (Warda) Selangor mengutuk sekeras-kerasnya perbuatan biadab cabul membabitkan seorang kanak-kanak perempuan yang sedang menunaikan solat Subuh di sebuah masjid di Batang Kali pada Jumaat.
Timbalannya, Nur Syuhadah Ya'akob berkata, pihak berkuasa diminta mengambil tindakan tegas terhadap pelaku yang menyebabkan kejadian tidak bermoral terbabit.
"Pelaku mesti dihadapkan ke muka pengadilan dan dihukum setimpal agar menjadi pengajaran kepada semua," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Menurut beliau, pada masa ini, keadilan kepada mangsa dan keluarganya adalah menjadi keutamaan.
Selain itu, katanya, Warda Selangor juga menuntut pihak berkuasa melaksanakan hukuman berat kepada pelaku.
"Trauma dialami oleh mangsa terutama pada usia muda boleh memberi kesan jangka panjang jika tidak ditangani dengan betul," ujar beliau.
Nur Syuhadah memberitahu, mangsa perlu diberikan bantuan kaunseling profesional secara menyeluruh melalui kerjasama antara Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) dan badan bukan kerajaan (NGO) berkaitan.
Ujar beliau, sokongan psikososial konsisten akan membantu mangsa memulihkan keyakinan diri dan meneruskan kehidupan dengan lebih baik.
Mengulas lanjut, katanya, meskipun masjid telah dilengkapi dengan kamera litar tertutup (CCTV), insiden itu jelas menunjukkan bahawa aspek pengawasan masih perlu diperketatkan.
Kata beliau, komuniti masjid perlu diberi pendedahan mengenai cara mengenal pasti tingkah laku mencurigakan dan bertindak dengan segera dalam situasi kecemasan
"Pihak pengurusan masjid disarankan untuk memperkukuh pengawasan melalui rondaan berkala oleh petugas keselamatan atau sukarelawan terutama di kawasan sensitif seperti ruang solat wanita dan tandas.
Beliau menegaskan, Warda Selangor terus memantau perkembangan kes itu dan bersedia menawarkan sokongan moral dan material kepada mangsa serta keluarganya sama ada bantuan perundangan atau pemulihan emosi akibat trauma dari kes ini.
"Kami berharap seluruh masyarakat dapat bersatu hati dalam memastikan keselamatan di rumah ibadah sentiasa terpelihara dan kejadian seumpama ini tidak berulang lagi.
Terdahulu, polis mengesahkan menerima laporan kejadian seorang lelaki yang disyaki mencabul kanak-kanak perempuan dalam masjid di Batang Kali pada Jumaat.
Ketua Polis Hulu Selangor, Ahmad Faizal Tahrim berkata, siasatan sedang dijalankan susulan laporan itu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

