Elak sebar video mangsa cabul di masjid - Saifuddin Shafi

Tular seorang lelaki yang disyaki mencabul kanak-kanak perempuan dalam masjid di Batang Kali, pada Jumaat.
Tular seorang lelaki yang disyaki mencabul kanak-kanak perempuan dalam masjid di Batang Kali, pada Jumaat.
A
A
A

HULU SELANGOR - Orang ramai diminta tidak menyebar video berkaitan mangsa cabul yang berlaku di sebuah masjid di Batang Kali pada awal pagi Jumaat.

Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Batang Kali, Saifuddin Shafi Muhammad berkata, mana-mana pihak di media sosial sama ada pengguna akaun peribadi atau pun portal media massa diminta menurunkan video memaparkan wajah mangsa dan keluarga bagi mengelakkan trauma lebih besar kepada mereka yang terlibat.

"Saya menyeru mana-mana saksi untuk tampil membantu siasatan dan percaya Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hulu Selangor akan mengendalikan siasatan terhadap suspek dengan cekap," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Saifuddin memberitahu, pihaknya mengecam perlakuan seperti itu dan sekiranya terbukti bersalah adalah satu perlakuan jahat yang tidak mencerminkan keperibadian manusia waras.

Jelas beliau, tindakan itu perlulah diadili dengan hukuman setimpal dengan mengambil kira masa depan mangsa terjejas dan bebanan emosi yang ditanggung mangsa sepanjang hayat.

"Semoga masyarakat kita terhindar daripada musibah seperti ini dan perbincangan tentang pencegahan jenayah akan dilaksanakan secara intensif oleh Pusat Khidmat DUN Bayang Kali bersama IPD Hulu Selangor dari semasa ke semasa," jelas beliau.

Terdahulu, polis mengesahkan menerima laporan kejadian seorang lelaki disyaki mencabul kanak-kanak perempuan dalam masjid di Batang Kali, pada Jumaat.

Ketua Polis Hulu Selangor, Ahmad Faizal Tahrim berkata, siasatan sedang dijalankan susulan laporan itu.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!