Program latihan, pembangunan AI percepat pendigitalan Malaysia - Gobind

Gobind Singh Deo pada sesi jawab lisan persidangan Dewan Rakyat pada Selasa. Foto Bernama
Gobind Singh Deo pada sesi jawab lisan persidangan Dewan Rakyat pada Selasa. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Kerajaan komited untuk mempercepat transformasi digital negara dengan memperkukuh pembangunan bakat dalam bidang teknologi, termasuk kecerdasan buatan (AI) bagi memastikan tenaga kerja bersedia menghadapi cabaran ekonomi digital.

Menteri Digital, Gobind Singh Deo berkata, program eUsahawan yang dianjurkan oleh Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) telah melatih lebih 563,000 usahawan sejak 2015, membolehkan mereka menguasai strategi pemasaran digital dan e-dagang.

"Bagi memastikan rakyat Malaysia terus berdaya saing dalam ekonomi digital, kita juga telah melaksanakan inisiatif MD Workforce Training & Place & Train, yang disertai seramai 12,964 pekerja tempatan dalam bidang AI, pengkomputeran awan, sains data dan animasi sehingga Disember 2024,” katanya dalam sesi penggulungan perbahasan Titah Diraja di Dewan Rakyat, pada Selasa.

Beliau berkata, setakat November 2024, pencapaian keseluruhan Pelan Strategik Pendigitalan Sektor Awam 2021-2025 mencecah 82.15 peratus.

Selain itu, Gobind berkata, kerajaan juga melaksanakan AI at Work 2.0, secara kerjasama dengan Google Cloud, yang membolehkan 445,000 penjawat awam menggunakan teknologi AI generatif dalam tugasan harian.

"Inisiatif ini bertujuan meningkatkan kecekapan kerja, membolehkan penjawat awam menumpukan kepada tugasan strategik serta mempercepat penyampaian perkhidmatan kepada rakyat," katanya.

Menurutnya, sebagai usaha memperkukuh ekosistem AI negara kerajaan merancang untuk menubuhkan Pusat Kecemerlangan AI yang akan menjadi pusat penyelidikan, inovasi dan latihan AI, selain bertindak sebagai platform bagi membangunkan penyelesaian AI inovatif.

"Bagi memperluas literasi digital, kerajaan turut memperkenalkan Portal Rakyat Digital, platform pembelajaran yang menawarkan kursus teknologi percuma.

"Setakat Februari 2025, lebih 1.3 juta rakyat Malaysia telah menyertai kursus AI Untuk Rakyat, manakala kursus baharu seperti Blockchain Untuk Rakyat dan Pengkomputeran Kuantum Untuk Rakyat akan diperkenalkan menjelang akhir tahun ini," katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!